suria

[VIDEO] Percaya kaedah tradisional dan nasihat orang punca kesihatan terjejas, Ako Mustapha kini ambil suntikan insulin 4 kali sehari 

GARA-GARA terlalu mengikut nasihat orang sekeliling tentang penjagaan dan amalan bagi memulihkan penyakti diabetes, pelakon Ako Mustapha mengakui ia memberi kesan kepada tahap kesihatannya sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital pada 4 Ogos lalu akibat tiada kandungan insulin dalam badan.

Ako, 51, berkata, sebelum ini dia tidak pernah mendapatkan informasi tepat daripada pakar perubatan sehingga menyebabkan dia mudah percaya dengan amalan dikongsi orang ramai.

"Saya tidak pernah ada pengetahuan yang betul sejak menghidap penyakit itu apatah lagi saya pula jenis suka dengar cakap orang lain dan cuba pelbagai amalan tradisional sehingga mengabaikan pengambilan ubat-ubatan dibekalkan hospital.

"Saya ini macam kambing yang tak berfikir, ikut sahaja apa orang kata tentang tip dan amalan boleh dilakukan dan disebabkan itu ia menjejaskan kesihatan saya kerana apa dilakukan itu bukan cara terbaik.

ako 12

Ako kini semakin pulih namun masih mendapatkan suntikan insulin.

"apabila terlalu mendengar cakap orang, ada masanya saya juga terlupa ambil ubat yang dibekalkan pihak hospital," katanya kepada mStar.

Ako ditemui ketika sidang media pelancaran drama terbaharu lakonannya berjudul Ai.5Ya pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Disangka strok, rupanya insulin dalam badan kosong... Ako Mustapha semakin stabil selepas 24 jam dikejarkan ke hospital

Menerusi laporan mStar sebelum ini, isteri Ako iaitu Kartina Shuaib memberitahu aktor tersebut mula menghidap kencing manis sejak 2016 namun keadaannya masih terkawal sehingga dimasukkan ke hospital awal Ogos lalu.

Bercakap mengenai penyakitnya itu, Aki memberitahu ada ketikanya dia tidak dapat memberi fokus kepada kerja disebabkan rasa mengantuk apabila kandungan gula dalam darah tidak stabil.

"Apabila kandungan gula dalam darah tinggi saya mudah rasa mengantuk dan tak boleh fokus kepada kerja. Syukur keadaan sekarang semakin baik berbanding ketika saya dimasukkan ke hospital sebelum ini.

Saya ini macam kambing yang tak berfikir. Ikut sahaja apa kata orang tentang amalan yang boleh dilakukan

AKO MUSTAPHA

PELAKON

ako 13

Ako bersama barisan pelakon Ai.5Ya.

"Sekarang saya mengambil suntikan insulin sebanyak empat kali sehari dan akan menjalani pemeriksaan susulan bagi memastikan kesihatan berada dalam keadaan baik," jelasnya.

Sementara itu, Ako tidak berasa menyesal atas kesilapan diri sendiri yang terlalu mengikut nasihat orang lain tanpa nasihat pakar kerana baginya niat mereka untuk membantu.

Ako turut menasihatkan mana-mana individu yang mempunyai masalah kesihatan agar melengkapkan diri dengan ilmu tentang sesuatu penyakit dan mendapatkan nasihat pakar perubatan.

"Mereka yang memberi nasihat itu kerana ingin membantu. Mungkin pengalaman mereka berbeza. Saya tidak menyesal ikut nasihat tersebut kerana sekarang ini ia telah membuka mata saya tentang ilmu sebenar dan apa yang patut dilakukan.

“Kita kenalah dapatkan ilmu yang betul tentang penyakit diri sendiri daripada pakar kerana mereka telah dilatih bertahun-tahun tentang masalah tersebut,” ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain