suria

Pening! Dalam 5 tahun 3 kali tukar kerajaan, netizen tak salahkan peserta Dewi Remaja 2022 gagal jawab soalan politik

Tangkap layar video memaparkan empat peserta Dewi Remaja 2022 ketika menjawab soalan bekaitan politik.

PROGRAM Dewi Remaja 2022 menjadi bahan usikan netizen apabila sebuah video temu bual sebuah portal berita bersama empat pesertanya tular di media sosial.

Menerusi video berdurasi 1.03 saat berkenaan memperlihatkan empat peserta iaitu Noor Alyssa Ahmad Azmi, 20, Keeranjit Kaur A/P Daljit Singh, 25, Siti Nur Aishah Bee Md Nor, 22 dan Zafira Natasya Yong, 21 diuji dengan soalan berkaitan politik di Malaysia.

Kesemua mereka dilihat keliru ketika diminta menamakan tiga parti pembangkang dan komponen parti dalam Kerajaan Persekutuan ketika ini.

"Muda, Pas dan Pakatan Harapan," jawab Noor Alyssa.

Peserta Dewi Remaj 2022 tahun ini berdepan dengan banyak kritikan netizen.

"Perikatan Nasional, Bersatu dan Pas. Saya ada baca mengenainya," kata pula peserta kedua, Keeranjit Kaur.

Melihat kepada raut wajah mereka ketika menjawab soalan itu, masing-masing seakan-akan tidak pasti untuk memberikan jawapan termasuk saling berpandangan antara satu sama lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Diversiti kunci pemilihan peserta, guru tadika dan selebriti TikTok antara 16 finalis Dewi Remaja 2022

ARTIKEL BERKAITAN: Pulang ke Malaysia selepas 14 tahun di Afrika Selatan! Dulu makan cengkerik, tak tahu cakap Melayu... kini finalis program realiti

Tentu sahaja perkara tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata mengkritik tahap pengetahuan am generasi muda terhadap politik negara.

"Kalau inilah tahap calon Dewi Remaja, nantikan malapetaka besar buat generasi akan datang.

"Teringat temu bual bersama Mawar Rashid mengenai GST. Temu bual macam panas sahaja dengar dia merepek.

"Nak jadi Dewi Remaja, soalan mudah pun susah hendak jawab," antara sebahagian komen netizen di Twitter.

Untitled design (17)

Tangkap layar komen netizen yang mempertahankan peserta Dewi Remaja 2022.

Bagaimanapun, masih ramai warganet yang mempertahankan peserta program berkenaan dan tidak menyalahkan mereka kerana keliru untuk menjawab soalan tersebut.

Ini kerana ramai dalam kalangan netizen juga keliru dengan komponen kerajaan dan pembangkang memandangkan dalam tempoh lima tahun Malaysia sudah bertukar kerajaan sebanyak tiga kali.

"Janganlah kecam, dalam lima tahun kita dah tukar kerajaan tiga kali. Tetapi sebenarnya sedih juga apabila ramai anak muda memang tak ambil tahu mengenai politik.

"Ada juga kawan-kawan cakap tak minat politik kerana ia tiada kaitan dengan mereka," tulis salah seorang netizen.

Untitled design (18)

Netizen mengkritik peserta Dewi Remaja 2022 kerana tidak dapat menjawab soalan pengetahuan am.

Salah seorang netizen lain pula secara sindiran memberitahu kegagalan peserta Dewi Remaja itu menjawab soalan berkenaan boleh difahami.

"Boleh difahami sebabnya Pas, Umno dan Bersatu pun selalu lupa yang mereka dalam kerajaan," katanya.

Pertandingan Dewi Remaja 2022 menyaksikan 16 peserta antara umur 18 hingga 25 tahun berentap bagi merebut gelaran juara.

Ia sedang ditayangkan menerusi saluran Astro Ria sejak 16 Julai lalu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain