suria

“Lima stesen radio tawar saya kerja” - Selepas 9 tahun tinggalkan dunia penyiaran, Faizal Ismail buat ‘comeback’ jadi penyampai Zayan

Kandungan program Zayan tarik minat Faizal kembali bergelar penyampai radio.

SELEPAS sembilan tahun meninggalkan dunia penyiaran, Faizal Ismail kini kembali bergelar penyampai radio mengendalikan segmen pagi di stesen Zayan FM bersama Mawi dan Anas.

Kata Faizal atau nama sebenarnya Mohd Faizal Ismail, 46, dia menerima sebanyak lima tawaran daripada pelbagai stesen radio selepas menamatkan perkhidmatan di Hot FM pada tahun 2013.

Namun, hatinya terbuka untuk kembali bergelar penyampai radio selepas menilai kandungan Zayan berbentuk Islamik dan perkongsian ilmu menarik di stesen berkenaan.

"Selepas tamat perkhidmatan dengan stesen radio sebelum ini, saya membuat keputusan untuk bekerja sendiri dan sepanjang tempoh itu ada lima stesen radio menawarkan saya kerja.

zayan 1

Faizal mengendaikan segmen Zayan Pagi bersama Anas dan Mawi.

"Dua tahun lalu saya mula berhijrah ke jalan yang lebih dekatkan kepada agama dan disebabkan itu saya melihat stesen radio Zayan adalah sebuah tempat yang sesuai untuk saya kembali.

"Kandungan di Zayan bukan sekadar hiburan, sebaliknya lebih kepada perkongsian ilmu. Justeru secara tidak langsung ini adalah cara untuk saya menyampaikan dakwah dengan lebih santai," katanya kepada mStar.

Faizal memaklumkan dia bersetuju mengikat kontrak selama empat minggu dan tidak menolak untuk terus aktif sebagai penyampai di stesen berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Teka-teki akhirnya terjawab! Shuib sah penyampai baharu Suria FM, kendali segmen ‘Morning Morning Suria’

ARTIKEL BERKAITAN: Fizi Ali mengaku silap tinggalkan Suria FM secara mengejut, berhijrah bukan kerana wang tapi mahu kembangkan karier pengacaraan

Sementara itu, Faizal atau lebih dikenali sebagai FBI menafikan dia menerima tawaran ini disebabkan bayaran tinggi.

"Setakat ini saya hanya bertugas untuk empat minggu sahaja kerana terikat dengan komitmen kerja lain. Bagaimanapun jika diberi peluang saya terbuka dan InsyaAllah ini adalah tanda comeback dalam bidang penyiaran radio.

"Saya bekerja bukan kerana wang. Memanglah ia penting, namun bukan faktor utama. Saya tidak meminta gaji seperti di stesen sebelum ini dan ia tidak lebih berbanding apa yang saya dapat dahulu.

Saya bekerja bukan kerana wang. Memanglah ia penting, namun bukan faktor utama.

FAIZAL ISMAIL

PENYAMPAI RADIO

"Faktor utama saya menerima adalah selepas melihat perjuangan mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, Faizal juga melihat rombakan yang berlaku dikebanyakan stesen radio kebelakangan ini merupakan satu cabaran untuk dia bersama rakan penyampai terus bersaing terutama ketika mengendalikan segmen pagi.

Disebalik kebangkitan semula program radio, Faizal berpendapat perlu adanya gandingan beberapa penyampai lama dan baharu dalam usaha menghidupkan kembali dunia penyiaran.

fbi 2

Faizal sedia terus aktif sebagai penyampai.

"Segmen pagi dilihat sebagai nadi sesebuah stesen radio. Memang satu cabaran besar namun saya anggap ia jadi pembakar semangat untuk berfikir lebih kreatif terutamanya isi kandungan program.

"Sekarang ramai penyampai lama kembali bekerja. Itu buktinya orang lama belum hilang bisa. Dengan kemunculan orang lama ini boleh beri penambahbaikan kepada penyampai baharu," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain