suria

[VIDEO] Dituduh biadab campak makanan ketika beri bantuan, Zoey Rahman bertindak demikian kerana fikir soal keselamatan

Zoey mohon maaf dan mengaku silap sendiri.

NIAT baik pelakon Zoey Rahman berkongsi rezeki dengan penduduk Bajau Laut di sebuah pulau kecil di Mabul, Sabah telah disalah anggap oleh sesetengah pihak apabila dia didakwa bersikap biadab kerana membaling makanan kepada individu yang menggeruminya.

Mengakui kesilapan tindakan itu, Zoey atau Mohd Hairey Azhar Abdul Rahman, 37, berkata, dia terpaksa membaling pek makanan ringan kepada penduduk atas faktor keselamatan memandangkan ketika itu dia berada di atas bot.

"Saya minta maaaf jika ada yang anggap tindakan saya membaling pek makanan itu sebagai biadab. Ya, memang khilaf saya sendiri kerana memberi makanan cara sebegitu.

zoey 2

Tindakan Zoey dikecam netizen.

"Namun saya juga perlu fikirkan soal keselamatan kerana ketika itu saya berada di atas bot dan mereka akan menyerbu jika ada mana-mana pihak menghulurkan bantuan. Jadi tindakan ketika itu tidak disengajakan.

"Rasanya orang-orang yang pernah ke sana akan faham dengan situasi sebenar, memang sukar untuk dikawal," katanya kepada mStar.

Terdahulu, Zoey menerima kecaman hebat dalam kalangan netizen selepas dia memuat naik video memperlihatkan dirinya sedang menghantar bantuan ke pulau berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada jodoh dengan Zarina Anjoulie, Zoey Rahman kini rapat dengan pelakon baharu Shakira Stephen... Kali ini tak mahu kecoh-kecoh

ARTIKEL BERKAITAN: Zoey Rahman seronok dapat makan dengan PM, sambut tahun baharu dengan majlis zikir - “Biasanya konsert dan bersuka ria”

Dalam pada itu, Zoey turut menjelaskan apa dilakukan bukan kerana sengaja mencipta 'content' di media sosial demi meraih perhatian netizen.

Sebaliknya, tindakan memuat naik video tersebut hanya sekadar ingin berkongsi pengalaman peribadi selain panduan sekiranya ada sesiapa ingin melawat ke kawasan berkenaan.

"Tak perlu saya nak buat content sebegitu untuk tujuan promosi atau sengaja mahu meraih perhatian. Saya muat naik video tersebut sekadar berkongsi pengalaman peribadi.

Rasanya orang-orang yang pernah ke sana akan faham dengan situasi sebenar, memang sukar untuk dikawal

ZOEY RAHMAN

PELAKON

"Mungkin ia boleh dijadikan sebagai panduan buat pengikut saya yang mahu pergi ke sana nanti. Kalau sesiapa yang nak berikan bantuan boleh bersedia dengan barangan dalam kuantiti lebih banyak untuk diagihkan kepada penduduk di sana," jelasnya.

Menerima semua teguran dengan hati terbuka, Zoey enggan isu sebegitu terus diperbesarkan dan sedar setiap individu berhak menyuarakan pendapat mereka.

Dalam masa sama, Zoey juga akan lebih berhati-hati dalam semua tindakan pada masa akan datang supaya tidak lagi menimbulkan rasa kurang senang atau menyentuh sensitiviti pihak lain.

zoey 3

Zoey terima kecaman netizen dengan hati terbuka.

“Sebagai seorang selebriti, saya dah biasa dikecam. Tak perlu rasanya untuk berbalah dan saya terima semua teguran dengan hati terbuka. Saya juga manusia biasa dan ada ketika turut melakukan kesilapan.

“Saya ambil pengajaran dari apa yang terjadi dan selepas ini akan lebih berhati-hati dalam setiap perkongsian. Terima kasih kepada semua yang menegur,” ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain