PELAKON dan penulis lirik Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman disahkan meninggal dunia kampung halamannya di Kubang Kerian, Kelantan pada Jumaat. Berita sedih mengenai pemergian bintang berusia 58 tahun itu disahkan oleh anak lelakinya Ahmad Sufian. Katanya, arwah mengalami sesak nafas sejak Khamis malam sebelum menghembuskan nafas terakhir di rumah mereka sekitar pukul 2 petang, Jumaat. "Semasa arwah ayah sesak nafas, abang dan ibu tiri saya berada di sisinya. Namun tidak lama kemudian ketika ahli keluarga berehat mereka dikejutkan dengan kematian arwah," katanya kepada mStar. Untuk rekod, pada Jun lalu kesihatan Bob dilaporkan kurang baik di mana tahap penggunaan jantungnya kini hanya tinggal 10 peratus. ARTIKEL BERKAITAN: Kesihatan Bob Lokman Menurun Dan Kini Dalam Peringkat Menunggu...? Arwah ketika itu bergantung pada alat bantuan jantung, Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC). Sejak beberapa tahun lalu, Bob pernah menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah akibat masalah jantung. Arwah juga pernah dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Rawatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Sasmec@lIUM) di Kuantan, Pahang ekoran kesihatannya kembali menyusut akibat masalah buah pinggang. Mengenai penglibatan dalam bidang seni, Allahyarham terkenal dalam penghasilan lirik lagu popular pada era 1980-an dan 1990-an. Antara karyanya ialah Isabella nyanyia kumpulan Search, Memburu Rindu dan Rendang Tak Berbuah (Hattan) serta Intanku Kesepian dan Taman Rashidah Utama (Wings). Lagu Isabella pernah diangkat sebagai pemenang utama Anugerah Juara Lagu terbitan TV3 tahun 1989. Beliau juga aktif dalam bidang lakonan dan pernah membintangi filem antaranya Jin Notti, Santau dan Mantra. Jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Isyak. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI