suria

Sebulan solat guna kerusi, lutut Hun Haqeem cedera ketika penggambaran ‘Nenek Bongkok Tiga’

Hun Haqeem mengalami kecederaan di bahagian kaki semasa menjayakan penggambaran.

PELAKON Hun Haqeem mengalami kecederaan di bahagian kaki semasa menjayakan penggambaran babak aksi dalam drama bersiri Nenek Bongkok Tiga.

Gara-gara insiden itu, Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy, 24, berkata dia berdepan kesakitan berpanjangan dan sukar untuk bergerak.

"Drama bersiri itu mempunyai banyak babak aksi yang memerlukan saya untuk melutut.

"Disebabkan itu, lutut saya banyak terkena permukaan tanah dan mungkin juga kerana sudah tidak kuat untuk menampung lagi," katanya kepada mStar.

Bagi mengurangkan kesakitan, Hun berkata dia sudah mendapatkan rawatan fisioterapi di sebuah klinik swasta dan keadaannya kini beransur pulih.

hun1

Hun mengakui dia kini jatuh cinta dengan lakonan babak aksi.

ARTIKEL BERKAITAN: Panas, berpeluh bukan masalah... Sut tebal bantu Hun Haqeem hidupkan watak lelaki gempal dalam Hantu Raya Pergi Perang

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah dilamar Audi Mok rakam lagu, Hun Haqeem tangguh niat bergelar penyanyi kerana sikap pemalu

"Alhamdulillah, solat sekarang pun saya dah tak menggunakan kerusi lagi.

"Jika dahulu, lebih kurang sebulan setengah saya solat dengan kerusi.

"Saya masih mempunyai empat atau lima sesi fisioterapi lagi dan harapnya selepas ini lutut saya kembali normal seperti dahulu," ujarnya.

hun1 (1)

Pelakon ini sedang berehat sebelum memulakan penggambaran baharu bulan depan.

Bercakap mengenai Nenek Bongkok Tiga, Hun berkata drama bersiri itu meninggalkan banyak memori untuk dirinya terutamanya semasa proses penggambaran.

"Kalau ikutkan banyak perkara yang berlaku sepanjang saya shooting drama ini.

"Selain sakit lutut, ada satu ketika ibu jari saya terkehel. Kejadian berlaku sekitar pukul dua pagi... panik juga team produksi ketika itu!

"Tetapi saya tetap meneruskan penggambaran kerana tidak mahu melengahkannya," katanya.

Meskipun berdepan kecederaan, Hun berkata insiden itu sama sekali tidak membuatkan dia serik untuk melakonkan babak aksi dalam drama akan datang.

"Selepas ini insyaAllah saya akan masuk ke set penggambaran drama aksi lagi. Saya tidak serik, malah semakin suka melakonkan babak-babak aksi.

"Jika sebelum ini saya sudah berlakon dalam drama komedi, cinta dan kali ini tidak salah sekiranya saya mencuba genre lain pula," ujarnya.

Hun sebelum ini mencipta nama menerusi watak Jekfer dalam drama Kampung People bergandingan bersama Riena Diana yang disiarkan di TV3.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain