suria

Roslan Salleh buta selepas saraf dimatikan, Anne Abdullah minta rakan artis datang ziarah - “Dia masih kenal kami yang melawatnya”

Keadaan Roslan Salleh dilaporkan semakin baik.

TAHAP kesihatan pelakon veteran, Roslan Salleh dilaporkan menunjukkan perkembangan positif dan kembali bersemangat ketika dikunjungi rakan-rakan selebriti baru-baru ini.

Dramatis Anne Abdullah atau Noraini Abdullah, 49, berkata, meskipun penglihatan Roslan terganggu namun dia masih mengenali rakan-rakan yang datang menziarahinya.

"Alhamdulillah, saya lihat keadaannya kini semakin baik. Abang Lan sudah boleh duduk dan berselera makan.

"Walaupun penglihatannya sudah tiada namun dia masih mengenali kami yang datang menziarahinya baru-baru ini," katanya kepada mStar.

anne1 - 1

Roslan menerima kunjungan daripada rakan selebriti.

Pada kunjungan itu, Anne turut ditemani oleh pelakon Fauziah Nawi dan Liza Abdullah ke kediaman Roslan di Masjid Tanah Melaka pada Selasa lalu.

Kata Anne, sebagai kenalan rapat pelakon veteran itu, dia dan rakan-rakan gembira melihat perkembangan positif ditunjukkan Roslan meskipun kesihatannya terganggu.

ARTIKEL BERKAITAN: Roslan Saleh terlantar tak mampu urus diri, kaki melecur punca kesihatan semakin merosot

ARTIKEL BERKAITAN: "Jangan Risau Saya Okey" - Roslan Saleh

Dalam pada itu, Anne turut berpesan kepada rakan selebriti yang mengenali Roslan agar meluangkan masa menziarahinya.

Ini kerana kata Anne, daripada raut wajah Roslan, aktor itu ternyata nampak lebih bersemangat dan gembira apabila ada rakan-rakan datang mengunjunginya dan bertanya khabar.

"Meskipun kami semua sibuk dengan urusan kerja, Alhamdulillah kami cuba luangkan masa berjumpa dengannya. Saya harap rakan-rakan selebriti lain turut datang menjenguk Abang Lan," ujarnya.

Berkongsi mengenai keadaan Roslan, Anne menjelaskan penglihatan pelakon itu terjejas bukan disebabkan penyakit diabetes tetapi akibat sering mengalami sakit kepala kronik.

Disebabkan itu, doktor mengambil keputusan mematikan saraf matanya bagi mengurangkan sakit kepala yang ditanggung.

"Penglihatannya mungkin terjejas tetapi selepas melakukan pembedahan itu, Abang Lan kini tidak lagi menanggung sakit kepala kronik," katanya.

Sementara itu, Anne memberitahu sekiranya orang ramai ingin memberi bantuan kepadanya, mereka boleh berbuat demikian dengan membeli produk jualan Roslan sebagai tanda sokongan.

553

Kesihatan Roslan sebelum ini merosot akibat kakinya melecur.

"Sewaktu Abang Lan masih sihat, dia rajin ikut kami berniaga. Mungkin ramai yang tak tahu, perniagaan jualan sambal hitam dan daging dendeng yang diusahakan masih lagi dijual.

"Kami rakan-rakan selebriti turut membeli sebagai tanda sokongan dan membantu mana yang termampu," katanya.

Terdahulu, kesihatan Roslan dilaporkan berada dalam keadaan kurang baik akibat penyakit diabetes yang dihidapinya sejak 10 tahun lalu.

Keadaannya menjadi lebih teruk apabila dimasukkan ke hospital pada Mei lalu kerana melecur pada bahagian kaki.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain