suria

Paksa diri hayati lagu bahasa Melayu cara Ezra Kong dalami seninya, tak sangka rupa-rupanya minat pantun

Ezra mahu perbaiki mutu bahasa dalam penulisan lagu.

DI SEBALIK mencipta banyak kejayaan sebagai penulis lirik dan komposer lagu-lagu berbahasa Melayu, Ezra Kong memberitahu ia bukan perkara mudah untuk menguasai sesuatu yang bukan menjadi kebiasaan sejak kecil.

Mengakui minat kepada seni pantun, Ezra, 34, memberitahu memaksa diri mendengar lagu-lagu tempatan adalah antara cara supaya dapat menjiwai karya yang ingin disampaikan.

"Saya membesar bukan dalam kalangan orang yang mendengar lagu Melayu. Jadi saya paksa diri supaya dapat memahaminya terlebih dahulu.

ezra 2

Ezra ketika menang di pentas Anugerah Juara Lagu 35 dengan lagu Gila.

"Apabila sudah faham, barulah terbit rasa sayang dan daripada situ boleh menjiwai untuk menghasilkan sebuah lagu baru.

"Saya sangat minat pantun... selain itu saya juga ada guru yang akan sentiasa semak hasil kerja saya sebelum menyiapkan demo sesebuah lagu. Siapa orangnya biarlah rahsia, dia pun bukan dalam industri," katanya kepada mStar.

Ezra ditemui pada malam Anugerah Badan Pelindung Hak Cipta Malaysia (MACP) 2022 yang berlangsung di Hotel Hilton, Kuala Lumpur pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ezra Kong komposer dengan pendapatan tertinggi MACP 2022

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Haram’ juara AJL33, Hael Husaini dan Ezra Kong rangkul anugerah dua tahun berturut-turut

Menerusi lagu-lagu popular yang pernah dihasilkan sebelum ini, Ezra berjaya menerima trofi Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada majlis berkenaan.

Menzahirkan rasa syukur atas kemenangan tersebut, dia juga tidak menyangka menewaskan komposer terkenal Datuk M Nasir yang turut menjadi salah seorang calon.

“Beliau (M Nasir) adalah idola saya. Saya banyak kaji lagu-lagu ciptaannya. Saya anggap apa yang dihasilkan sekarang adalah penambahbaikan dari lagu-lagu sebelum ini. Orang-orang terdahulu telah mencipta satu kerja yang sangat baik.

Apabila dah faham, terbitlah rasa sayang dan dari situ boleh menjiwai untuk hasilkan sebuah lagu baru

EZRA KONG

KOMPOSER

“Kemenangan saya ini bukanlah kerana hasil kerja seorang sahaja. Ramai lagi yang bersama saya. Hael Husaini juga banyak mengajar tentang irama lagu-lagu berbahasa Melayu,” ujarnya.

Menganggap lagu ciptaannya berjudul Entah Bila (nyanyian Aishah Aziz) sebagai salah salah karya terbaik, Ezra tidak pernah terfikir dia boleh berada di tahap sebegini sebagai seorang komposer.

Berjaya merangkul banyak anugerah, dia juga melihat ia sebagai satu cabaran untuk terus memperbaiki kualiti dalam penghasilan karya-karya baharu di masa akan datang.

ezra 3

Lagu berjudul Haram nyanyian Hael dan Dayang Nurfaizah diumumkan juara AJL33.

“Memang puas dengan apa yang saya capai sekarang ini. Ketika awal aktif dalam muzik saya hanya fikir ‘cukup makan’ sahaja. Tak sangka boleh sampai ke tahap begini.

“Semua anugerah yang diterima ini adalah satu tanggungjawab untuk saya perbaiki diri kerana sebelum ini saya ambil masa terlalu lama untuk menyiapkan sebuah lagu bahasa Melayu,” jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain