suria

DJ Lin masuk hospital lagi... kali ini paha kanan tiba-tiba ada benjolan sebesar bola golf, risau kalau petanda awal kanser

DJ Lin dikejarkan ke hospital gara-gara bengkak dan bisa di bahagian peha.

PENYAMPAI radio Suria FM iaitu DJ Lin sekali lagi dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur selepas paha kaki kanannya mengalami masalah bengkak secara tiba-tiba.

DJ Lin atau Roslinda Abdul Majid, 47, berkata, bengkak tersebut pada awalnya tidak terasa sakit namun ia semakin membesar sebelum mula rasa sakit seperti bisa beberapa hari kemudian.

"Beberapa hari lalu saya perasan bahagian paha kanan bengkak secara tiba-tiba tetapi kalau lihat secara kasar seperti tiada apa-apa berlaku... kalau letak tangan boleh rasa macam ada bonjolan sebesar buah kundang.

DJ Lin kongsi keadaan dirinya yang menerima rawatan di hospital.

"Selepas dua tiga hari, ia semakin membesar macam bola golf dan mula rasa sakit berbisa. Kalau jalan macam rasa ada bola tersekat dekat paha. Memang sakit sampai saya demam.

"Saya ke klinik dan doktor bagi antibiotik tetapi bertambah sakit dan demam pun semakin teruk... saya pergi sekali lagi ke klinik sama dan kemudiannya doktor minta saya ke hospital untuk dapatkan rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi mStar pada malam Khamis.

Terdahulu, DJ Lin berkongsi video memperlihatkan dia sedang berada di wad hospital sebagai menjawab pertanyaan peminat apabila dia sudah beberapa hari tidak muncul di radio.

ARTIKEL BERKAITAN: “Sakit perut, badan lemah sampai gelap mata” - DJ Lin dimasukkan ke hospital, menunggu keputusan ujian doktor

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan nampak murah” - DJ Lin tak tutup pintu hati kahwin lagi tapi jaga martabat sebagai wanita

Pun begitu, DJ Lin menjelaskan masalah kesihatannya itu tiada kena mengena dengan punca dia dimasukkan ke hospital sebelum ini yang disebabkan sakit perut dan lemah badan.

Berkongsi lanjut mengenai keadaannya, DJ Lin yang juga pengurus besar Suria FM berkata, dia mula berfikiran buruk mengenai keadaannya itu sehingga menyangka ia petanda awal kanser.

Berada di wad sejak Selasa lalu, DJ Lin berkata, dia berkemungkinan terpaksa ditahan lebih lama ekoran masih mengalami demam teruk dan sakit kepala melampau selain doktor ingin memastikan benjolan tersebut surut sepenuhnya.

Mintakan semua doakan saya, mudah mudahan tiada yang serius dan juga cepat sembuh.

DJ LIN

PENYAMPAI RADIO

"Doktor dah buat pemeriksaan ultra bunyi dan mendapati kelenjar di bahagian paha saya bengkak membuatkan saya terasa sangat sakit. Sekarang ini doktor beri antibiotik yang kuat serta lakukan pemantauan selama beberapa hari lagi sehingga benjolan itu surut.

"Masa rasa ada bengkak dan benjolan di paha itu... saya mula fikir buruk, saya ini ada kanser ke apa. Tapi saya masih lagi berfikiran positif sebab doktor tak ada cakap apa-apa lagi," katanya lagi.

DJ Lin harap peminat jangan risau tentang keadaanya.

Meskipun berada di hospital, DJ Lin memberitahu bahawa dia masih lagi meneruskan kerja seperti biasa cuma tidak dapat menemani peminatnya di segmen Suria Cinta.

"Mintakan semua doakan saya, mudah mudahan tiada yang serius dan juga cepat sembuh dan hilang benjolan... bengkak pun surut supaya saya dapat kembali bekerja seperti sedia kala," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain