suria

Puas pujuk akhirnya ibu setuju pindah Semenanjung, Wawa Zainal bagi sebuah rumah... “Kediaman itu tidaklah mahal”

Ibu Wawa terharu menerima sebuah rumah dari anaknya.

BAGI membalas jasa ibu dan bapa yang membesarkannya selama ini, pelakon dan usahawan Wawa Zainal menghadiahkan sebuah kediaman cukup selesa untuk orang tuanya itu.

Tidak perlu rumah yang besar dan mewah, Wawa atau Nur Hawa Zainal Abidin, 32, berkata dia lebih memikirkan mengenai keperluan dan keselesaan untuk ibu bapanya menjalani kehidupan harian.

"Mereka tinggal berdua sahaja, jadi rasanya tidak sesuai kalau beli rumah dua tingkat. Saya sendiri pun bila sudah tua nanti lebih selesa untuk duduk di bilik tingkat bawah kalau ada rumah bertingkat.

"Membeli rumah ini untuk pun tidak cukup untuk balas semua jasa mereka selama ini. Saya mahu mereka tinggal dekat dengan saya supaya jika ada sebarang keperluan saya ada dekat dengan mereka. Saya juga mahu keluarga berkumpul di sini.

wawa zainal 2

Keadaan rumah yang dibeli Wawa sebelum dan selepas (kanan) ubah suai.

"Rumah itu pun tidaklah mahal. Saya beli rumah subsale dah harganya sekitar RM380,000," katanya ketika dihubungi mStar.

Sebelum itu, Wawa berkongsi video dia membuat kejutan menghadiahkan ibu bapanya sebuah rumah yang terletak di Kajang, Selangor selepas lebih tujuh bulan membelinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wawa Zainal rasa macam hilang nyawa, badan menggigil susah bernafas... “Taubat tak nak minum dah”

ARTIKEL BERKAITAN: Kasar netizen tegur isu anak Wawa Zainal bawa watak ‘Wednesday’... siap tentukan syurga dan neraka

Tambah Wawa sudah lebih tiga tahu dia cuba memujuk kedua orang tuanya yang tinggal di Lahad Datu, Sabah untuk berpindah ke sini namun mereka hanya bersetuju tahun lalu.

"Selepas perniagaan semakin berkembang, saya memang ada niat untuk bawa keluarga berpindah ke sini. Rasanya sudah lebih tiga tahun saya pujuk ibu bapa tinggal di sini. Tahun lalu baru mereka setuju dan awalnya hanya menyewa dahulu.

"Apabila nampak semakin selesa, saya pun belilah sebuah rumah untuk mereka. Kedua ibu bapa saya tahu saya beli rumah tersebut dan mereka asyik bertanya bila boleh pindah ke rumah baharu.

Saya mahu mereka tinggal dekat dengan saya supaya jika ada sebarang keperluan saya ada dekat dengan mereka

WAWA ZAINAL

PELAKON/USAHAWAN

"Melihat reaksi mereka semalam (Rabu) saya pun rasa hiba. Sebagai ibu bapa saya dapat rasakan bagaimana perasaan mereka apabila anak-anak memberi penghargaan sebegitu," ceritanya.

Bercakap tentang proses ubah suai rumah tersebut, Wawa memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pereka hiasan dalam yang pernah bekerjasama dengannya sebelum ini.

wawa zainal 3

Wawa dan suami, Aeril Zafril harap boleh terus balas jasa ibu bapa.

Mereka mengambil tempoh sebulan untuk menyiapkan permintaan Wawa dan pelakon tersebut sangat berpuas hati dengan hasil yang diberikan.

"Saya hanya katakan mahu rumah yang selesa untuk orang tua. Saya percaya sebab mereka sebelum ini pernah menyiapkan ruang pejabat dan rumah saya.

"Saya pun bukanlah seorang yang cerewet. Jadi biarkan sahaja mereka buat kerja. Hasilnya sangat memuaskan," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain