suria

Novel Sasterawan Negara Abdullah Hussain ‘Imam’ diangkat sebagai filem

Imam bakal menemui penonton Mac depan.

KARYA Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain iaitu novel berjudul Imam bakal diadaptasi ke layar perak.

Pengarah Mior Hashim Manap berkata, dia tertarik untuk membawa naskhah tersebut ke layar perak kerana merasakan novel berkenaan sebuah karya yang baik.

"Sewaktu saya membaca novel ini sekitar tahun 2013, saya tertarik dengan pemikiran yang dibawa oleh Abdullah sehingga ia menjentik hati saya untuk menghasilkan filem Imam.

"Ia berlatarkan tahun 1983 dan antara intipati menarik dalam novel ini apabila menggambarkan orang Melayu ketika itu cenderung kafir-mengkafir, selain peranan masjid yang hanya digunakan untuk solat, sedangkan banyak fungsinya yang lain," katanya.

imam1 - 1

Imam menampilkan barisan pelakon hebat.

Dalam pada itu, difahamkan filem Imam bakal menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat termasuk Datuk M. Nasir, Faizal Hussein, Vanidah Imran, Natasha Charmain dan ramai lagi.

Penggambaran filem ini mengambil latar tempat yang menarik seperti Lenggong dan Malim Mawar, Perak serta Kuala Tahan, Jerantut, Pahang.

Berkenaan dengan proses untuk membawa Imam ke layar perak, Mior menyatakan dia tidak mengubah karya asal, meskipun agak sukar untuk mengadaptasi keseluruhan novel berkenaan setebal 705 halaman.

ARTIKEL BERKAITAN: Dain Said terkejut lihat aksi pelakon muda, rupanya ramai berbakat... Sengaja bawa kelainan dalam filem 'Harum Malam'

ARTIKEL BERKAITAN: Treler hanya satu peratus daripada keseluruhan filem, penerbit potong babak panas dalam 'Pulau'

"Untuk filem ini, saya lebih banyak menumpukan kepada konflik yang berlaku antara watak Haji Mihad (M. Nasir) dan Haji Syamsuri (Faizal Hussein).

"Bagi saya, Imam adalah sebuah novel yang hebat, termasuklah Abdullah sendiri selaku pengarangnya," jelasnya.

Sementara itu, Mior turut memberitahu dia berdepan dengan pelbagai cabaran untuk menghasilkan filem adaptasi ini.

Kata Mior, untuk skrip sahaja telah melibatkan empat kali rombakan bermula tahun 2013 (draf pertama), 2016 (draf kedua dan ketiga) serta 2021 (draf keempat).

imam2 - 1

Vanidah Imran antara pelakon utama filem Imam.

"Semasa skrip ini siap pada peringkat awal sekitar tahun 2013, saya sukar mencari penerbit yang berminat dan setelah itu saya mendiamkan diri sekitar 2016.

"Kemudian saya perkemaskan skrip Imam, tetapi masih sukar mendapatkan penerbit yang berminat. Akhirnya tiga tahun lepas saya ambil keputusan untuk menjadi penerbit dan bersyukur kerana usaha saya ini disokong oleh Finas," ujarnya.

Untuk info, Imam mengisahkan tentang perjuangan seorang imam iaitu Haji Mihad yang ingin membawa pembaharuan di kampungnya sendiri.

Filem ini bakal menemui penonton bermula 2 Mac 2023 dan akan ditayangkan di seluruh pawagam tanah air.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain