suria

Jejaka Cina bergelar doktor calon suami Joy Revfa, sudah peluk Islam sejak awal Ramadan

Joy bakal mengikat tali pertunangan dengan Dr Adrian pada Mei ini.

KELIBAT seorang jejaka berbangsa Cina yang segak dalam persalinan baju Melayu meraikan lebaran bersama Joy Revfa pada 1 Syawal lalu mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan pengikut usahawan kosmetik tersebut.

Wajah kacak lelaki dikenali sebagai Dr Adrian Yeah itu juga sudah beberapa kali muncul di Instagram Joy sehingga ada membuat telahan jejaka bertuah itu kekasih baharu usahawan berkenaan.

Malah menerusi beberapa hantaran lain di Instagram, Joy turut dilihat meluangkan masa bersama ahli keluarga Dr Adrian malah hubungan mereka akrab selain turut meraikan hari raya bersama.

Bercakap kepada mStar, Joy atau Siti Arifah Mohd Amin, 36, mengakui Adrian atau nama Islamnya, Muhammad Adrian Yeah adalah bakal suaminya yang dikenali sejak awal Februari lalu.

joy2 - 1

Dr Adrian memeluk Islam pada 24 Mac lalu.

Kata Joy, ketika ini mereka masih mengenali hati budi masing-masing dan sekiranya tiada aral melintang, mereka akan mengikat tali pertunangan pada Mei ini.

"Kami kenal awal Februari lalu tapi setuju untuk membawa hubungan ke arah lebih serius pada 18 Februari 2023. Sejak itu, kami memang tidak main-main dan serius merancang masa depan bersama.

ARTIKEL BERKAITAN: Hantar anak ke sekolah tahfiz, Joy Revfa jaga penampilan... Malu pakai baju ketat, tudung singkat

ARTIKEL BERKAITAN: Joy Revfa naik seram tengok fitnah kaitkan pendakwah, kongsi tip elak wanita tergoda - "Tak kira free hair atau berhijab tetap diganggu"

"Insya Allah kami akan mengikat tali pertunangan pada Mei ini," katanya.

Dalam pada itu, Joy berkata, mereka bukan sahaja sedang mengenali hati budi tetapi tanggungjawabnya juga lebih besar apabila perlu membimbing Dr Adrian mendalami Islam dengan lebih baik sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

Dedahnya, Dr Adrian yang juga seorang doktor perubatan sudah pun melafazkan syahadah pada 24 Mac lalu di salah sebuah masjid di Setia Alam, Selangor.

Alhamdulillah sejak jadi mualaf memang dia solat dan berpuasa. Kagum jugalah saya dengan dia sebab bersungguh-sungguh nak belajar.

JOY REVFA

USAHAWAN

"Alhamdulillah Adrian telah memeluk agama Islam pada 24 Mac lalu dan sekarang saya sedang membimbingnya untuk belajar lebih mendalam tentang Islam.

"Selepas dia lafaz syahadah, baru saya betul-betul yakin nak merancang perkahwinan," katanya.

Usahawan itu juga menjelaskan dia sendiri memilih sendiri nama Islam buat Dr Adrian yang membawa maksud 'kekayaan'.

"Saya pilih nama Adrian untuknya yang bermaksud kekayaan, supaya dia dikurniakan dengan kekayaan, kebahagiaan dan kejayaan oleh Allah.

Adrian Joy

Adrian turut meraikan hari raya bersama anak lelaki Joy dan bakal ibu mentuanya.

"Mohon semua doakan Adrian dan semoga Allah melindungi dia sebagai seorang mualaf yang istiqamah dan sempurna," ujarnya.

Bercakap mengenai calon suaminya itu, Joy mendedahkan dia tertarik dengan gaya hidup sihat diamalkan Dr Adrian termasuklah tidak mengambil minuman keras mahupun merokok.

Apa lebih membuatkan dia yakin, hubungan cinta mereka turut mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak biarpun memiliki kepercayaan, agama dan latar belakang yang berbeza.

"Sebelum masuk Islam lagi Adrian memang tidak mengamalkan pengambilan minuman keras, menjalani gaya hidup bebas atau pun merokok.

Snapinsta.app_335776802_748653059993621_621933140611040071_n_1080

Hubungan pasangan ini turut mendapat restu keluarga Adrian.

"Walaupun Adrian berbangsa Cina tapi dia sangat fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Apa paling penting adalah keluarga kami berdua merestui hubungan kami. Itu sangat mustahak," jelasnya.

Sementara itu, Joy turut meluahkan rasa sayu melihat kesungguhan Dr Adrian mendalami ajaran Islam malah turut mula berpuasa dan belajar solat ketika bulan Ramadan.

Katanya, dia tidak mahu mendidik bakal suaminya itu dengan cara keras kerana bimbang Dr Adrian akan berasa tertekan menjalani tanggungjawab sebagai seorang mualaf.

"Alhamdulillah sejak jadi mualaf memang dia solat dan berpuasa. Kagum jugalah saya dengan dia sebab bersungguh-sungguh nak belajar.

joy1 - 1

Pasangan ini berkenalan pada awal Februari lalu.

"Saya lihat dia berusaha untuk berpuasa setiap hari dan turut belajar cara-cara untuk solat menerusi bacaan buku.

"Jika ada perkara yang dia tidak faham, dia akan rujuk kepada ustaz. Saya sendiri pun nak dia belajar secara perlahan-lahan dan jangan drastik sangat. Takut pula dia rasa Islam ini susah, sedangkan Islam ini sangat mudah," katanya.

Untuk rekod, Joy pernah mendirikan rumah tangga bersama komposer dan penyanyi Hafiz Hamidun pada 1 Mei 2017 sebelum memutuskan untuk bercerai tiga bulan selepas itu.

Sebelum itu, Joy pernah bernikah dengan seorang ahli perniagaan dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Arryan Firdaus, 9.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain