suria

‘Konsert Satu Suara Datuk Seri Siti Nurhaliza Vol.3’ meriah, tiket ‘sold out’ saat akhir... TokTi siap belanja lagu baharu untuk peminat

Konsert Satu Suara Vol. 3 berlangsung meriah.

KONSERT Satu Suara Datuk Seri Nurhaliza Vol. 3 berlangsung meriah dengan kehadiran 4,000 penonton yang membanjiri Mega Star Arena, Sungei Wang, Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

Konsert yang dianjurkan bersama Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd (SNP) itu turut menampilkan gandingan dua penyanyi dari era berbeza iaitu Jay Jay iaitu artis popular era 70-an dan Ernie Zakri (2000-an).

Malah konsert berkenaan juga merupakan satu usaha bagi mendapatkan dana untuk meneruskan kerja kebajikan Yayasan Nurjiwa milik Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 44, dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

siti3 - 1

Gabungan Jay Jay, Ernie dan Siti menghidupkan suasana malam konsert.

Siti ketika ditemui berkata dia bersyukur dengan kejayaan edisi kali ini selain daripada pemilihan dua penyanyi hebat iaitu Jay Jay dan Ernie.

“Alhamdulillah, apa yang saya rancang untuk konsert Satu Suara kali ini diterjemahkan dengan baik.

“Bukan saja Ernie tapi Aubrey Suwito sendiri selaku pengarah muzik. Lebih penting, saya nak pengisian tu orang tahu persembahan yang kami buat ini untuk mengutip dana Yayasan Nur Jiwa,” katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: "Kau dapat anugerah apa? Kecaman sahaja" - Aliff Syukri mohon maaf kepada Siti Nurhaliza, ‘pulang’ balik gelaran penyanyi nombor satu

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen puji 'Wajah Kekasih' versi Inul Daratista penuh emosi, Siti Nurhaliza tak dapat tahan air mata

Siti berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Santai Konsert Satu Suara Vol. 3 yang diadakan di Hotel ParkRoyal Collection, Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

Dalam pada itu, Siti turut menjawab persoalan tentang jualan tiket konsert yang dikatakan agak perlahan.

Siti berkata, dia sudah dapat menjangkakan mengenai isu itu namun yakin masih ramai peminat yang akan membeli di saat akhir.

Tapi saya percaya tiket last minit orang akan beli juga dan memang terbukti pun... Alhamdulillah full house untuk malam ni

DATUK SERI SITI NURHALIZA

PENYANYI

“Saya memang dah agak sebenarnya sebab kita faham juga ramai yang masih beraya, buat persiapan untuk raya.

“Tapi saya percaya tiket last minit orang akan beli juga dan memang terbukti pun... Alhamdulillah full house untuk malam ni,” ujarnya.

Istimewanya semasa konsert tersebut, Siti turut menyanyikan sebuah lagu yang akan dimuatkan dalam album baharunya khas buat peminat.

siti5 - 1

Peminat berpuas hati dengan persembahan pada malam konsert.

Lagu berjudul Sehebat Matahari ditulis oleh Rozie Sang Dewi dan komposerrnya adalah Aubrey Suwito.

Malah album baharu Siti juga dikatakan bakal dilancarkan pada tahun ini dengan kerjasama bersama komposer muda.

“Ia sebenarnya lebih kepada lagu semangat tentang kita terutamanya sebagai anak seni kami kena jadi sehebat matahari memberikan cahaya kegembiraan kepada peminat.

siti4 - 1

Siti bakal melancaerkan album baharu.

“Untuk album saya kali ini InsyaAllah saya keluarkan 12 buah lagu yang komposernya terdiri daripada Malaysia dan Indonesia.

“Malah ramai juga dalam kalangan anak muda dan ini merupakan pertama kali saya bekerjasama dengan mereka,” jelasnya.

Bercakap mengenai perancangan Konsert Satu Suara untuk Vol. 4, Siti mengakui dia perlu memberi jarak supaya tidak membebankan peminat untuk kerap kali membeli tiket.

Menurut Siti, dia juga mempunyai perancangan untuk menganjurkan konsert solo yang akan diadakan pada tahun depan.

“Saya akui saya tidak boleh memaksa peminat untuk beli dan terus membeli tiket konsert. Saya kena adil untuk peminat-peminat saya juga.

“InsyaAllah konsert solo saya akan diadakan tahun depan. Lepas ini saya akan ada lagi perkara yang ingin diumumkan. Persembahan istimewa saya.

“Apa kata saya tunggu album saya keluar dulu nanti bolehlah saya menyanyikan lagu-lagu baharu dalam konsert tersebut,” katanya.

Konsert Satu Suara Vol. 3 menampilkan beberapa buah lagu popular nyanyian Siti termasuk Siti Situ Sana Sini dan Kesilapanku Keegoaanmu.

Selain persembahan solo, Siti turut menyanyi bersama Jay Jay dan Ernie menerusi lagu Kita Insan Biasa, Gundah, Ku Bersuara, Joget Angan Tak Sudah.

Trio hebat ini juga turut menghiburkan penonton menerusi seleksi lagu raya iaitu Hari Raya Bahagia dan Sesuci Lebaran.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain