suria

Percaya masih ada ruang sebagai penyanyi, Osem Han keluar single pertama selepas 30 tahun

Osem Han tidak merasakan dia sudah terlambat untuk kembali merancakkan karier seninya.

PENYANYI kelahiran Singapura Osem Han mengambil langkah berani melancarkan single solo pertamanya selepas 30 tahun memencilkan diri daripada dunia seni suara.

Osem, 40, berkata, keputusan melupakan karier nyanyiannya sebelum ini disebabkan persaingan yang mencabar selain memberi perhatian terhadap kedai gunting rambut yang diusahakan di Singapura bagi menampung kehidupan.

"Dulu nak bertahan dalam bidang muzik memang mencabar tambahan saya perlu mencari pendapatan yang boleh menampung kos hidup di Singapura.

"Disebabkan itu saya terpaksa melupakan kerjaya nyanyian buat sementara waktu dan mengambil keputusan membuka sebuah kedai gunting rambut.

Osem 8

Osem sudah bergelar penyanyi sejak 30 tahun lalu namun memilih melupakan seketika cita-citanya.

"Alhamdulillah selepas 30 tahun, masih ada peluang untuk saya mengejar impian yang sudah lama tertangguh dengan terhasilnya single solo ini," katanya menerusi kenyataan kepada mStar.

Osem tampil dengan lagu berjudul Pilihanku yang liriknya ditulis sendiri manakala melodinya digubah oleh Reyza Hamizan.

Dalam pada itu, Osem berkata, dia tidak melihat keputusan kembali aktif dalam bidang seni pada usianya sekarang sebagai sudah terlambat sebaliknya percaya masih ada ruang untuknya dalam industri seni.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 3 tahun, Ronan Keating kembali bikin konsert di Arena of Stars Genting Highlands

ARTIKEL BERKAITAN: Bantu usahawan buka restoran di Bukit Bintang, Jaafar Onn tak kejar duit tapi mahu tengok peniaga Melayu berjaya

Osem berkata, sekarang juga adalah masa paling tetapi memandangkan kehidupannya sudah stabil dan tiada masalah besar yang perlu ditanggung.

"Dulu saya bersama sebuah band tetapi nak mencipta nama dan mendapat peluang itu tidak mudah seperti disangka.

"Jadi saya harap ini adalah waktu terbaik untuk saya kembali dan kembangkan bakat bukan saja di Singapura tetapi Malaysia," katanya.

Saya harap ini adalah waktu terbaik untuk saya kembali dan kembangkan bakat bukan saja di Singapura tetapi Malaysia.

OSEM HAN

PENYANYI

Bercerita mengenai Pilihanku, Osem berkata keistimewaan lagu terbabit adalah dia tampil dengan genre yang berbeza.

“Memandangkan ini adalah single solo yang pertama, Reyza mahu saya bereksperimentasi dan cuba membawakan genre berbeza.

“Pilihanku juga dekat dengan jiwa setiap pendengar kerana lagu ini bercerita mengenai diri setiap individu yang mempunyai pelbagai pilihan dalam hidup,” katanya.

Yakin dengan kemampuan lagu Pilihanku, Osem berharap percubaan untuk kembali aktif akan membuahkan hasil terbaik.

Osem 7

Muzik video Pilihanku sudah pun mendapat hampir 200,000 tontonan.

“Kalau kita semua dapat putar kembali waktu, sudah pasti kita nak mencipta kejayaan pada zaman muda tapi malangnya setiap daripada kita ada jalan hidup yang berbeza-beza.

“Mungkin kehidupan yang saya lalui ini tidak bernasib baik kerana saya tidak dapat peluang yang orang lain terima ketika itu, tapi saya tidak pernah berputus asa untuk terus perjuangkan minat dalam muzik,” katanya.

Pilihanku sudah boleh dimuat turun di kesemua pelantar digital termasuk ditonton di YouTube Osem Records.

Sehingga kini Pilihanku sudah menerima lebih 183,000 tontonan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain