suria

Kalah PRU15 bersama Pejuang, Eizlan Yusof bakal sertai PAS pula

Eizlan hanya menjalankan tanggung jawab kerana diberi kepercayaan oleh Tan Sri Annuar.

SELEPAS kalah bertanding di kerusi Parlimen Sabak Bernam mewakili Parti Pejuang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof dikhabarkan bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) bawah tiket Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Ia menjadi bualan ramai selepas tular foto memaparkan dirinya bersama beberapa figura politik daripada PN termasuklah Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.

Menjawab mengenai perkara itu, Eizlan atau nama sebenarnya Idris Md Yusof, 51, meminta semua pihak menunggu sebarang pengumuman yang akan dibuat olehnya kelak.

Eizlan hanya jalankan tanggungjawab yang diberi.

"Saya tak nak komen apa-apa mengenai perkara itu (sertai PAS). Tunggu saja pengumuman berkaitan sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.

"Buat masa ini saya hanya menjalankan tanggungjawab kerana diberi kepercayaan oleh Tan Sri Annuar untuk bersama MN yang berperanan sebagai platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melaksanakan program dan aktiviti ke arah kemuafakatan, perpaduan dan tanpa bersifat perkauman," katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Lebih menguatkan spekulasi apabila Eizlan turut menerima kad keahlian Kelab Motosikal Alternative Rising Club (ARC) yang juga merupakan kelab yang ditubuhkan di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah membesar dalam keluarga B40... Eizlan Yusof miliki 'hati tisu', faham kesusahan hidup rakyat

ARTIKEL BERKAITAN: Tewas PRU15... Jurey Latiff kembali duduk kerusi pengarah, Eizlan Yusof simpan kenangan jumpa pengundi

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Eizlan yang merupakan Ketua Penerangan Muafakat Nasional (MN) Negeri Selangor berkata, kerja amal sudah sebati dengan dirinya selain ingin melihat sistem politik yang lebih baik.

"Jiwa NGO yang ada dalam diri dan saya benar-benar serius untuk mempromosikan perpaduan ummah selain menjunjung keutuhan sistem politik negara yang lebih baik," ujarnya.

Untuk info MN mula membuka keahlian kepada orang ramai sejak 10 Disember tahun lalu dan keahliannya telah mencecah lebih 100,000 orang.

Eizlan sebati dengan jiwa NGO.

Dalam PRU15, Eizlan hilang wang deposit sebanyak RM10,000 selepas hanya menerima 460 undian dalam pertemuan empat penjuru.

Kerusi parlimen itu dimenangi oleh Kalam Salam daripada Perikatan Nasional dengan majoriti sebanyak 5,056 undi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain