PELAKON Kilafairy berasa puas dapat mencurahkan bakti serta menjaga ibunya iaitu Rohana Jalil sepanjang Allahyarham menerima rawatan di Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Selangor sejak April lalu. Kila atau Syakila Nisa Jahangir Khan, 28, berkata, sebagai anak dia sudah melakukan yang terbaik untuk ibunya dan reda dengan pemergian Rohana. "Sedih tapi saya ada bersamanya sejak dari awal sehingga akhir. Alhamdulillah. "Dia pergi pun pada hari yang baik, 10 hari yang penting dalam setahun. Kita tahu dia pergi dalam keadaan baik. Saya sentiasa berada di sisinya sepanjang dia menerima rawatan. Kila sebelum ini meluahkan belum bersedia melepaskan ibunya pergi. "Mungkin disebabkan itu juga saya rasa tenang sebab sebagai anak saya sudah buat yang terbaik... saya tahu dia gembira dan tersenyum. Lega saya," katanya kepada mStar. Kila berkongsi mengenai itu ketika ditemui sejurus selesai upacara pengebumian ibunya di Tanah Perkuburan Islam USJ21, Subang Jaya pada Rabu. Dalam pada itu, Kila memberitahu dia akan merindui semua perkara tentang ibunya memandangkan dia anak paling rapat dengan arwah. ARTIKEL BERKAITAN: Azizul Khamis sempat bantu tunai solat, Noraniza Idris pula ralat tak dapat ziarah Rohana Jalil di hospital ARTIKEL BERKAITAN: Rohana Jalil meninggal dunia Setiap pesanan ditinggalkan Allahyarham akan disemat dalam hati selain berjanji akan melaksanakan hasrat Rohana yang belum kesampaian. "Masakan dia seperti lontong, laksa... lawak dia, semua tentang dia. Saya memang selalu berdua dengan dia. "Mama selalu pesan supaya sentiasa berpijak pada tanah, setinggi mana pun saya pergi kalau nampak orang lebih tua salam dan cium tangan. "Pesanan-pesanan seperti itu yang akan saya pegang selamanya," jelasnya. Mama selalu pesan supaya sentiasa berpijak pada tanah, setinggi mana pun saya pergi kalau nampak orang lebih tua salam dan cium tangan. KILAFAIRY PELAKON Pada malam Selasa, Rohana atau Dara Jalil, 68, menghembuskan nafas terakhirnya HCTM kira-kira pukul 11.33 malam. Pada Isnin lalu, pengurusnya yang dikenali sebagai Jepun memaklumkan Rohana berada dalam keadaan stabil, namun keadaan tubuhnya dilaporkan terlalu lemah selepas disahkan mengalami kebocoran usus. Rohana juga ketika itu tidak lagi menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana penggunaan mesin rawatan sudah tidak mampu merawat penyanyi itu. Hubungan ibu dan anak ini memang cukup akrab. Kuman akibat kebocoron usus itu telah merebak ke beberapa organ utama seperti paru-paru dan buah pinggang. Untuk rekod, Rohana mendirikan rumah tangga bersama Jahangir Khan dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Shakira Idora dan Syakila Nisa atau lebih dikenali sebagai Kilafairy. Rohana merupakan pemenang bagi pertandingan Bintang RTM pada 13 Januari 1981 yang diadakan di Auditorium Besar, Angkasapuri, Kuala Lumpur. Antara lagu-lagu yang pernah dipopularkan Rohana termasuk Musafir Lalu, Resah Ku, Naluri Cinta dan Jangan Main Mata. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!