suria

Hilang beberapa hari, Tom kongsi pengalaman disorok bunian... “Pintu rumah daripada daun, bumbung bentuk segi tiga”

Tom lalui kejadian mistik ketika zaman kanak-kanak.

PENYANYI Tom berkongsi pengalaman mistik berada di sebuah perkampungan misteri dipercayai akibat 'disorok bunian'.

Cerita Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram, 37, kejadian misteri itu berlaku semasa dia berada di kampung halamannya di Kuala Kangsar, Perak ketika berusia tiga tahun.

Kata Tom, sehingga kini dia masih mengingati peristiwa berada dalam perkampungan yang sangat berbeza dengan kehidupan hariannya.

tom 1

Tom memberi gambaran perkampungan bunia tersebut.

"Saya pernah hilang beberapa hari dekat kampung di Kuala Kangsar... keluarga cakap saya kena sorok bunian tetapi tak tahu la betul atau tidak.

"Apa yang saya ingat tiba-tiba berada di sebuah kampung, pasirnya putih bersih. Bumbung rumah semua bentuk segi tiga," katanya.

Tom menulis perkara tersebut di laman Instagram miliknya pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Fuad Rahman dedah isteri sedang hamil, Tom minta doa kandungan selamat

ARTIKEL BERKAITAN: Lama tanggung rindu, Tom akhirnya dapat jumpa anak sulung... janggal pertama kali keluar bersama

Dalam perkongsian berkenaan, penyanyi ini turut memuat naik gambar seolah-olah memberi bayangan tempat dia berada ketika itu.

Mencerita lebih lanjut, Tom berkata kawasan tersebut hanya dihuni oleh kaum wanita dan mereka memberikan layanan baik apabila Tom ditemui menangis teresak-esak.

"Rumah berdekatan antara satu sama lain. Yang keluar semua penghuni perempuan berjumpa saya. Semua rumah menggunakan pintu diperbuat daripada daun.

Apa yang saya ingat tiba-tiba berada di sebuah kampung, pasirnya putih bersih. Bumbung rumah semua bentuk segi tiga

TOM

PENYANYI

"Mereka menerima baik kehadiran saya yang sedang menangis. Semua dukung saya, bermain dan menyanyi untuk memujuk saya. Kemudian saya tidak ingat apa yang berlaku," ujarnya.

Menurut Tom lagi dia berjaya keluar dari perkampungan tersebut dan ditemui oleh penduduk kampung di sebuah kawasan semak samun.

Peristiwa tersebut juga menjadi satu cerita dan kenangan yang turut diingati oleh ahli keluarga Tom.

tom 3

Tom turut menceritakan kejadian tersebut kepada suami, Fuad Rahman.

"Saya ingat saya dihantar pulang oleh pak cik dan mak cik tua kampung ke rumah nenek. Mereka jumpa saya sedang tidur dalam semak.

"Sampai sekarang saya tidak boleh lupa kejadian itu. Keluarga pun masih ingat. Suami pun tahu kisah ini. Tetapi tentang disorok bunian itu... saya tidak tahu," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain