FILEM atau drama seram bukan genre asing buat aktres Eyka Farhana namun pengalaman ketika menjalani penggambaran filem Anak Perjanjian Syaitan 2 antara paling meninggalkan kesan. Mengaku dia seorang penakut, Eyka atau Wan Atiqa Wan Sarmizi, 28, berkata, ketika menjalani penggambaran filem itu dia berdepan kejadian mistik yang tidak dapat dilupakan. Berkongsi kisah seram itu, Eyka berkata, ketika pulang daripada set penggambaran filem berkenaan bersama adiknya mereka terdengar suara seseorang sedang menyanyi sehingga membuatkan bulu roma mereka menegak. "Saya memang penakut dan adik saya pun sama! Bila di set penggambaran tak terlalu seram sangat sebab ada ustaz yang menjaga kami. Bunyi suara orang menyanyi buat Eyka takut. "Tapi ada satu hari saya habis penggambaran lebih awal dan ketika pulang kami terdengar macam ada orang menyanyi sehingga membuatkan bulu roma naik. "Saya tidak pasti suara tersebut milik siapa dan kami hanya mampu mendiamkan diri sepanjang pulang ke rumah," katanya kepada mStar. Eyka menceritakan pengalaman seram itu ketika tayangan perdana filem itu di Golden Screen Cinemas (GSC) Mid Valley pada malam Selasa lalu. ARTIKEL BERKAITAN: [V] Karier masih nombor satu, Eyka Farhana belum ada perancangan nikah Akhyar Rashid ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi selfie bersama Hailey Bieber, netizen puji Eyka Farhana lagi cantik Dalam ketakutan itu, Eyka memberitahu dia teringat pesanan orang tuanya untuk duduk di dalam kereta terlebih dahulu sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Ini kerana 'benda' yang mengikuti mereka pulang mungkin boleh menganggu adik-beradiknya yang masih kecil atau lebih parah merasuk mereka. "Bila sampai rumah saya memang ikut nasihat ibu dan ayah untuk duduk dulu dalam kereta sebelum masuk rumah. "Tapi walaupun tidur, saya rasa ada seseorang memerhatikan saya. Tapi Alhamdulillah gangguan itu tidak teruk dan semuanya berjalan lancar," katanya. Antara babak Eyka dan juga Fasha Sandha di dalam Anak Perjanjian Syaitan 2. Filem Anak Perjanjian Syaitan 2 arahan Dr. Ahmad Idham bakal ditayangkan di Malaysia dan Brunei bermula 4 Januari 2024. Anak Perjanjian Syaitan 2 mengisahkan seorang wanita muda bernama Azlinda (Eyka Farhana) dalam perjuangannya menentang pertarungan mistik yang menghantuinya sejak kecil. Walaupun Azlinda didiagnosis dengan masalah anxiety namun yakin gangguan menghantuinya sejak kecil berkait rapat dengan sejarah hitam ibu bapanya. Selain Eyka, filem ini turut dibintangi Alif Satar dan Fasha Sandha selain Azlan Komeng, Dian P. Ramlee, Azizah Mahzan serta Shaharuddin Thamby. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!