BABAK turun naik mahkamah syariah melibatkan kes penceraian pasangan selebriti antara menjadi tumpuan dunia hiburan sepanjang tahun 2023. Di sebalik kisah bahagia yang selama ini dipertontonkan kepada peminat, siapa sangka ada sengketa sehingga rumah tangga yang dibina berakhir dengan perpisahan. Ada di antara pasangan selebriti ini melalui pelbagai liku sebelum dapat bercerai manakala ada pula yang memilih jalan damai demi memperbaiki rumah tangga. Syamsul dan Puteri Sarah memilih berpisah secara baik. 1. Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana Kemelut rumah tangga di antara Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu sebelum pengarah itu mengumumkan perkahwinannya dengan Ira Kazar pada 5 Januari 2023. Susulan itu, Puteri Sarah, 38, memfailkan cerai terhadap Syamsul di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 12 Januari 2023. Tidak hanya kes di mahkamah menjadi perhatian, kedua-dua mereka juga sering berbalas kenyataan di laman sosial akibat tidak menemui jalan penyelesaian berhubung penceraian mereka. Namun pasangan itu akhirnya setuju berpisah secara baik pada 14 Jun lalu. Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6 dan Sumayyah, 5 tahun. Cerita bahagia Farid dan Diana menjadi inspirasi ramai. 2. Farid Kamil dan Diana Danielle Ketika isu melibatkan Puteri Sarah dan Syamsul Yusof sedang hangat diperkatakan, pelakon Diana Danielle mengejutkan banyak pihak apabila memfailkan penceraian terhadap aktor Farid Kamil pada 20 Mac 2023. Farid atau Farid Kamil Zahari, 42, bagaimanapun enggan melepaskan Diana malah berlaku babak pujuk memujuk ketika mereka hadir ke mahkamah. Akhirnya, pada 10 Ogos lalu, pasangan ini sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling menerusi sidang secara atas talian. Bagaimanapun jodoh Farid dan Diana masih kuat apabila mereka kembali rujuk tidak lama selepas itu. Farid dan Diana, 32, mendirikan rumah tangga pada 3 November 2021 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 10 dan Nur Aurora, 8 tahun. Hafidz melafazkan cerai terhadap Shuhada pada Februari. 3. Hafidz Roshdi dan Nurul Shuhada Pada 27 Julai lalu Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam mengesahkan lafaz cerai dibuat pelakon Hafidz Roshdi, 29 terhadap Nurul Shuhada pada Februari lalu adalah sah. Tidak hanya isu penceraian, Hafidz juga berdepan dakwaan mencederakan Shuhada sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian muka dalam kejadian di susur keluar tol Sungai Buaya, Hulu Selangor pada 2 Mac lalu. Kes itu masih berjalan di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu. Hasil perkahwinan sejak 30 April 2016, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar, 3 tahun. Aktor itu kembali mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya iaitu Athira Yuhada pada 15 Disember lalu. Kontroversi keluarga Fauziah dan ND Lala juga hangat diperkatakan. 4. ND Lala dan Fauziah Sarman Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menetapkan lafaz cerai dibuat penyanyi Datuk ND Lala terhadap isteri, Fauziah Sarman pada Ogos lalu sah dan mereka bercerai talak satu. Fauziah, 51, sebelum itu mendedahkan sudah diceraikan ND Lala, 62, pada 2 Ogos lalu melalui aplikasi WhatsApp dan lafaz dibuat di Masjid Ar Rahman, Bangsar, Kuala Lumpur. Linda dan Beego pertahankan rumah tangga mereka. 5. Beego dan Linda Hashim Pasangan pelakon Beego dan Linda Hashim dilaporkan bercerai talak satu pada 27 Mac lalu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Bagaimanapun rasa cinta dalam diri pasangan itu masih menebal dan sepakat kembali rujuk pada 9 April 2023. Beego dan Linda yang sudah berkahwin sejak 10 tahun lalu dikurniakan tiga orang cahaya mata. Hubungan Zainal dan Fyna tidak bertahan lama. 6. Zainal Abidin dan Fyna Jebat Perkahwinan kedua bekas pemain bola sepak kebangsaan Datuk Zainal Abidin dengan penyanyi Fyna Jebat mendapat perhatian meluas media. Tidak pernah mendedahkan tarik sebenar perkahwinan mereka namun ikatan di antara mereka hanya bertahan selama empat bulan sebelum mengumumkan sudah bercerai. Afiq juga pernah memfailkan nusyuz terhadap Pachara. 7. Afiq Muiz dan Pachara Apin Pasangan pelakon Afiq Muiz dan Pachara Apin sah bercerai talak satu pada 18 Julai lalu selepas empat tahun mendirikan rumah tangga. Mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Ampang selepas hampir dua tahun perkahwinan mereka dilanda pelbagai isu. Ini termasuk Pachara mendakwa Afiq pernah mengasarinya sehingga membuatkan dia nekad memfailkan penceraian. Afiq dan Pachara berkahwin pada 2019 namun mereka tidak dikurniakan cahaya mata. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!