suria

Penangan watak Arjuna, Haidar Hasanudin ditawar jadi ‘anak ikan’... Tiada masalah lakon babak kontroversi

Haidar sanggup terima pelbagai cabaran bagi menghidupkan watak dalam lakonan.

DEMI menghidupkan sesebuah watak dalam drama atau filem, pelakon Haidar Hasanudin memberitahu dia sentiasa terbuka untuk melakonkan apa sahaja babak termasuklah yang mungkin boleh mencetuskan kontroversi.

Bagi Haidar, 35, setiap jalan cerita yang ingin disampaikan oleh pengarah pastinya mempunyai mesej tersendiri dan ia tidak seharusnya dinilai melalui babak-babak tertentu sahaja.

Malah, dia juga melihat ia sebagai satu kejayaan apabila seorang pelakon mampu menghidupkan watak dan babak tertentu meskipun mengundang rasa kurang senang dalam kalangan penonton.

haidar 1

Nama Haidar kini semakin mendapat perhatian.

"Kalau ada tawaran babak yang sengaja untuk mencipta kontroversi mungkin saya tidak terima. Namun jika babak itu untuk melengkapkan jalan cerita saya tiada masalah melakukannya.

"Saya juga tidak ada masalah sekiranya nama saya naik disebabkan babak kontroversi kerana ia bukan melibatkan peribadi. Sebagai pelakon kita terpaksa menghidupkan watak supaya penonton boleh melihat baik atau buruknya.

"Saya percaya dalam setiap karya pasti ada mesej baik yang ingin disampaikan kepada penonton," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Nasib baik tidak ‘terkorban’, Haidar Hasanudin nyaris disondol lembu

ARTIKEL BERKAITAN: Daiyan Trisha cantik, Haidar Hasanudin gemuruh kena berlakon jadi tunang!

Haidar yang baru sahaja selesai dengan drama berjudul Layang-Layang Perkahwinan mengakui dia menerima banyak kecaman gara-gara watak Arjuna yang sanggup meninggalkan isteri demi mencari cinta wanita kaya dan berusia.

Menyedari watak itu kurang disenangi penonton, Haidar berkata dia tidak menyangka namanya kini semakin mendapat perhatian ramai selain mula menerima banyak tawaran berlakon.

"Orang mula panggil saya dengan gelaran Arjuna dan saya suka. Biarlah orang kenal saya menerusi watak dalam lakonan berbanding diri sendiri.

Mungkin saya boleh senang dengan cara begitu, tetapi hidup tidak akan tenang

HAIDAR HASANUDIN

PELAKON

"Syukur jumlah pengikut juga meningkat. Walau masih baru dalam industri lakonan, saya anggap drama ini sebagai satu anugerah.

"Sejak awal terima skrip drama ini saya tahu ia pasti akan mendapat kecaman. Sebagai pelakon saya hanya mengikut kehendak skrip dan pengarah. Kecaman juga membuktikan lakonan saya menjadi," ujarnya.

Di sebalik perhatian yang diberikan, Haidar juga tidak dapat lari daripada godaan peminat yang cuba mendekati dirinya.

haidar 3

Watak Arjuna menerima banyak kecaman peminat.

Bukan hanya golongan wanita malah ada juga kaum lelaki yang sanggup menawarkan wang ringgit dan kemewahan buat dirinya.

"Ada yang hantar mesej ajak keluar dan tawar untuk taja hidup saya. Ia datang daripada golongan lelaki dan perempuan. Saya pernah menerima tawaran ribuan ringgit untuk jadi 'anak ikan'.

"Mungkin saya boleh senang dengan cara begitu, tetapi hidup tidak akan tenang. Kalau memilih cara begitu lebih baik tak payah berlakon," kongsinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain