PERTAMA kali tampil membuat persembahan bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), Aina Abdul sekali membuktikan dia seorang penyanyi versatil dalam memberikan kelainan setiap kali muncul di atas pentas. Diiringi 60 pemuzik orkestra, Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 30, turut menunjukkan sisi 'patuh' bersesuaian dengan pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang berprestij dengan nyanyian lebih bersahaja tetapi bertenaga. Setiap kali Aina membuka mulut melontarkan kekuatan vokalnya, seluruh dewan sepi memberi perhatian kepada nyanyiannya dengan paduan pemuzik orkestra pimpinan Ahmad Muriz Che Rose. Hari pertama persembahan yang berlangsung pada malam Jumaat, Aina membuka tirai dengan lagu daripada album sulungnya berjudul Imaji. Aina mempersembahan sebanyak 20 buah lagu pada konsert berkenaan. Dikenali sebagai penyanyi yang sentiasa 'all out' dalam memberikan persembahan, Aina bagaimanapun tidak kekok menyesuaikan diri dengan gubahan simfoni lebih lembut dan santai. "Itulah perbezaan konteks persembahan simfoni kerana pemuzik orkestra mempunyai dinamik dalam skor muzik mereka dan begitu juga saya. "Saya cuba menyesuaikan nyanyian dengan skor muzik mereka, lebih lembut dan santai. ARTIKEL BERKAITAN: Bagai mimpi jadi kenyataan, Aina Abdul fokus serlah kekuatan vokal konsert bersama MPO ARTIKEL BERKAITAN: Ada sebab dipilih penyanyi pembukaan konsert Ailee, Aina Abdul janji persembahan bertenaga "Jadi apabila saya mendengar muzik, saya cuba untuk selaraskan nyanyian kerana saya tidak mahu 'bergaduh' dengan muzik itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas konsert berlangsung. Persembahan selama dua jam dihadapan 2,000 penonton itu juga bagaikan tidak terasa apabila Aina turut menyampaikan 20 buah lagu popularnya termasuk Sumpah, Kejam, Jangan Mati Rasa Itu, Shadow dan beberapa lagu medley. Sementara itu, Aina menyifatkan persembahan di DFP sbagai pengalaman berharga apatah lagi ia cukup berbeza berbanding konsert pernah diadakan sebelum ini. Aina menyifatkan persembahan bersama MPO sebagai 'patuh'. Ini juga adalah pengalaman pertama persembahannya diiringi pemuzik orkestra yang ternyata tidak mudah namun memberi impak kepada gaya dan vokalnya. "Konsert ini menunjukkan sisi Aina Abdul yang sedikit 'patuh' kerana sebelum ini saya menyanyi main 'langgar' sahaja. "Ia juga adalah pengalaman pertama saya bersama orkestra seramai 60 pemuzik mengiringi persembahan saya. Saya tidak pernah membuat persembahan dengan pemuzik seramai ini," katanya. Aina pertama kali mengadakan persembahan bersama 60 pemuzik orkestra. Dalam pada itu, Aina turut menyifatkan nyanyian dengan gubahan simfoni memberi peluang kepada dia untuk lebih bermain dengan warna vokal. "Menyanyi secara simfoni ini memberi saya banyak ruang untuk bermain dengan suara yang mana saya tidak pernah mendapat peluang seperti ini. "Saya juga dapat mencari apa lagi yang saya boleh buat dengan nyanyian saya. Saya tidak akan lupa dengan pengalaman yang diberikan ini," ujarnya. Aina akan sekali lagi menghiburkan peminat pada malam kedua konsert berkenaan pada 11 Mei 2024. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube TONTON VIDEO PILIHAN!