suria

Fazura Studio tegaskan pelancaran ‘Bertahan Demi Cinta’ sudah dirancang awal, penafian Iman Tang pendapat peribadi

Syarikat milik Fazura tahu tentang tarikh pelancaran lagu baharu.

KENYATAAN pengurus kepada Nur Fazura iaitu Iman Tang yang mendakwa tidak mengetahui tentang pelancaran lagu baharu berjudul Bertahan Demi Cinta duet bersama Fattah Amin sekadar pendapat peribadi.

Fazura Studios dalam satu kenyataan dikeluarkan menjelaskan kenyataan Iman tidak mewakili syarikat itu malah perancangan telah dibuat lebih awal sebelum pasangan itu bercerai pada 7 Oktober lalu.

"Kami ingin menegaskan kenyataan dikeluarkan oleh pengurus kepada Fazura berhubung pemilihan tarikh pelancaran lagu ini adalah pendapat peribadi semata-mata serta ia tidak mewakili syarikat.

fazura 111

Fazura lancar lagu baharu selepas bercerai.

"Kedua-dua syarikat juga berpegang kepada perancangan yang telah dibuat lebih awal sebelum ini, yang mana tiada sebarang penglibatan oleh pengurus Fazura," jelas kenyataan itu.

Fazura Studios bersama syarikat rakaman Hits Records di Indonesia sama-sama bersetuju dengan penetapan tarikh pelancaran lagu tersebut pada 10 Oktober 2024.

Jelas kenyataan itu lagi, pihak syarikat tidak berniat menyinggung perasaan mana-mana pihak memandangkan Fazura dan Fattah baharu sahaja melalui fasa penceraian.

ARTIKEL BERKAITAN: Fazura dan Fattah Amin sah bercerai talak satu

ARTIKEL BERKAITAN: Peminat bengang label Indonesia ambil kesempatan, lancar lagu duet Fattah dan Fazura tindakan bodoh

"Pelancaran lagu ini tiada sebarang kaitan dengan perkembangan terkini urusan peribadi Fazura dan kami tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak," jelasnya.

Kenyataan sama turut menyebut lagu itu telah dirakamkan pada Januari lalu dan penggambaran muzik video dilakukan pada Februari di Yogjakarta, Indonesia.

fazura 333

Fazura dan Fattah sah bercerai talak satu.

Sebelum ini ramai yang kurang senang apabila pengumuman pelancaran lagu tersebut dibuat kerana dianggap tidak sesuai ketika isu penceraian mereka sedang hangat diperkatakan.

Untuk rekod, Fazura dan Fattah sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil perkahwinan itu, pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Nur Fatima Aisya, 4 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain