PELAKON dan penyampai radio Neera Azizi mendedahkan pernah diminta membuka tudung semata-mata bagi menjayakan watak dalam sebuah drama bersiri. Menurut Neera atau Nurazneera Azizi, 27, pihak produksi hanya meminta dia untuk menanggalkan tudung semasa penggambaran sahaja. Dia bagaimanapun menolak tawaran berkenaan kerana merasakan perkara itu seperti menipu netizen yang mengetahui status dirinya kini sudah berhijab. Neera mahu jujur dengan diri sendiri. "Banyak dapat tawaran berlakon siap ada drama projek 50 episod tapi watak yang dibuat untuk saya itu tidak bertudung dan mereka tak tahu saya dah bertudung waktu tu. "Saya kata tak boleh tapi mereka minta saya buka bila sesi penggambaran sahaja dan selepas selesai pakai balik. "Tak bolehlah macam itu, macam diminta untuk tipu netizen," katanya kepada mStar. Neera mendedahkan perkara itu ketika ditemui pada sidang media dan majlis pelancaran filem Hukum Kifarah di Mines Beach Resort, Seri Kembangan, Selangor pada malam Selasa. ARTIKEL BERKAITAN: Neera Azizi nikah tahun depan, pilih mutawif sebagai bakal suami... Berkenalan selepas tunai umrah ARTIKEL BERKAITAN: Banyak tolak tawaran, Neera Azizi belum berhenti berlakon... Kini bergelar penyampai radio Mengakui tawaran diberikan lumayan, namun Neera tetap dengan prinsip percaya ada rezeki lebih baik menanti. Malah, dia menganggap ini semua adalah ujian yang perlu ditempuhi untuk kekal istiqamah dalam proses menjadi wanita solehah. "Tawaran diberikan tu besar tapi selepas itu saya dapat rezeki lebih besar seperti jadi penyampai radio dan terbaharu berlakon filem. "Itu adalah ujian buat saya untuk kekal istiqamah, jadi saya tolak tawaran itu dan bersangka ada tawaran lebih baik," ujarnya. Saya percaya rezeki selepas kahwin lagi luas. NEERA AZIZ PELAKON Bakal mendirikan rumah tangga pada Julai depan, Neera meletakkan keyakinan perkahwinan itu sama sekali tidak akan menjejaskan rezekinya dalam dunia seni. "Kalau kita fikir nama sedang naik tapi tiba-tiba kahwin, bagi saya perkahwinan itu salah satu rezeki. "Tak boleh nak anggap kalau kahwin nama saya akan jatuh, tidak begitu. Saya percaya rezeki selepas kahwin lagi luas," jelasnya. Untuk rekod, Neera selamat menjadi tunang kepada seorang mutawif yang dikenali sebagai Hafizi pada 26 Oktober tahun lalu. Neera sudah bersedia bergelar isteri. Dalam perkembangan lain, Neera akan terlibat sebagai heroin bagi filem Hukum Kifarah yang akan memulakan penggambaran pada Februari depan. Selain Neera, pelakon lain yang turut membarisi filem ini ialah Farid Kamil, Datuk Jalaluddin Hassan, Syaiful Zero, Imuda dan beberapa pempengaruh media sosial. Filem yang diarahkan pengarah Roy dan penulis skrip Epy Kodiang itu dijangka akan ditayangkan pada suku pertama tahun 2026. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!