GARA-GARA memiliki wajah comel atau digelar 'flower boy' membuatkan pelakon Alvin Chong tidak dapat mencuba pelbagai watak idaman.
Alvin atau nama sebenarnya Alvin Chong Chean Wah, 34, berkata, dia kerap kali ditolak pihak produksi kerana wajahnya yang dikatakan tidak sesuai untuk membawa genre lain selain romantik komedi.
Kecewa dengan perkara itu, Alvin berkata dia kini sedang berusaha untuk mengubah tona kulitnya agar menjadi lebih gelap kerana mahu kelihatan lebih maskulin.
Alvin tak putus asa untuk terus berkarya.
"Saya sebenarnya ada pergi beberapa uji bakat untuk watak antagonis tapi mereka cakap muka saya terlalu baik dan penonton tak akan percaya, sebab itulah saya mahu cuba dan diberi peluang.
"Tapi mereka pula kata muka tak lepas. Jadi sekarang ini saya kerap ke pantai untuk gelapkan kulit sikit biar nampak macam jantan sikit," katanya kepada mStar.
Alvin berkongsi perkara itu ketika ditemui di pelancaran drama pendek Tiada Seperti Leyla yang berlangsung di Kuala Lumpur pada malam Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Ditikam’ rakan industri, Alvin Chong terfikir tinggalkan dunia hiburan... Album solo penguat semangat teruskan karier
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Khadijah senang dengan sikap Alvin Chong, artis lelaki paling hormat wanita
Pun begitu, Alvin bagaimanapun tetap bersyukur dikurniakan raut wajah jambu, malah dia tidak pernah terfikir untuk mengubahnya.
"Nak buat macam mana, Tuhan bagi muka macam ini. Takkan saya nak pergi buat muka pula.
"Mungkin muka saya tiada misai, tapi kalau tanam misai pun tak cantik juga... tak akan saya perlu ambil ubat hormon pula?" luahnya.
Tapi saya nak cuba macam-macam watak juga.
ALVIN CHONG
PELAKON
Dalam perkembangan lain, Alvin memberitahu dia juga sedang sibuk mengikuti kelas mempertahankan diri iaitu Muay Thai agar membolehkan dirinya diterima melakonkan genre aksi.
"Saya sekarang pun pergi ke kelas Muay Thai kerana nak dapatkan rentak aksi. Sebab saya bukan pelakon aksi, kalau genre itu mungkin mereka nak pelbagai bangsa.
"Mungkin satu hari nanti dapat rezeki untuk buat filem ke. Tapi saya nak cuba macam-macam watak juga selain romantik komedi," kongsinya.
Alvin mahu terus mencuba mencari watak baru.
Bercakap mengenai karier seni, Alvin muncul menerusi drama pendek berjudul Tiada Seperti Leyla bergandingan bersama Rita Nadira.
Tiada Seperti Leyla mengisahkan tentang Leyla (Rita) yang kerap dibuang kerja kerana kerana sikap ganasnya dan bertemu Daniel yang merupakan musuh zaman persekolahannya dahulu.
Drama pendek ini mula menemui penonton bermula 7 April dan boleh ditonton menerusi platform penstriman Viu dan di TikTok Viu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!