suria

Intonasi bercakap mungkin penyebab salah faham, Zeera Azizi tak sokong pramugari persoal Fasha Sandha

Zeera berpendapat ada salah faham dari segi intonasi digunakan pramugari terhadap Fasha.

ADA kemungkinan wujud salah faham dari segi intonasi digunakan seorang pramugari susulan mempersoalkan pelakon Fasha Sandha menaiki penerbangan kelas ekonomi baru-baru ini.

Zeera atau Nurazeera Azizi, 29, berkata, pramugari berkenaan mungkin berniat ingin memuji sikap Fasha apatah lagi aktres itu seorang pelakon terkenal.

Bagaimanapun Zeera tidak menyokong tindakan pramugari tersebut malah soalan seperti itu tidak sepatutnya ditanya kepada penumpang.

Zeera berkata pramugari dilatih untuk sentiasa mesra dengan penumpang.

"Bagi saya apa yang pramugari itu cakap memang tidak bagus.

"Tapi kita tak tahu dia punya niat, mungkin dia nak puji artis naik kelas ekonomi.

"Mungkin intonasi digunakan membuatkan timbul salah faham pramugari itu menyindir dan sebagainya," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Sudah biasa hidup sederhana, Fasha Sandha kecewa pramugari persoal naik kelas ekonomi

ARTIKEL BERKAITAN: Diberhentikan kerja sebagai pramugari, Zeera Azizi fokus kerjaya seni - “Sedih tapi syukur masih ada pendapatan lain”

Zeera berkongsi perkara itu ketika ditemui pada tayangan perdana drama First Wives di TGV KLCC pada malam Rabu.

Bercerita pengalaman bekerja di awan biru, Zeera menjelaskan setiap pramugari akan dilatih melayani penumpang dengan mesra dan tidak menyakiti perasaan mereka.

"Tiada pramugari dilatih sakitkan hati penumpang, tambahan pula bila bekerja kita kenalah ikhlas.

Mungkin intonasi digunakan membuatkan ada salah faham pramugari itu sedang menyindir.

ZEERA AZIZI

PELAKON

"Nasihat saya, sebelum bercakap kena berfikir dahulu sama ada perkataan hendak dikatakan itu akan buat seseorang terasa hati atau sebaliknya," jelasnya.

Sebelum ini, Fasha meluahkan rasa kecewa terhadap seorang pramugari yang mempersoalkan dia menaiki kapal terbang kelas ekonomi bersama keluarganya.

Biarpun pramugari itu sudah memohon maaf, namun perkara itu meninggalkan kesan pada dirinya sehingga meluahkannya di media sosial.

Zeera adalah bekas pramugari.

Dalam perkembangan lain, Zeera bakal tampil dengan drama terbaharu lakonannya berjudul First Wives.

Selain Zeera, pelakon lain yang turut membintangi drama tersebut ialah Mimi Lana Melissa Campbell, Malek Mccrone, Charles Robert, dan Andy Teh.

First Wives yang mempunyai lapan episod itu akan mula ditayangkan pada 11 April ini menerusi platfrom penstriman On Demand, Astro GO dan sooka.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain