PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza terbuka melakukan perbincangan dengan Suria Records (SRC) berhubung 11 buah lagu nyanyiannya yang masih dalam simpanan bekas syarikat rakamannya itu.
Kata Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 46, dia percaya kesemua karya tersebut mempunyai kelebihan tersendiri namun bakal kedengaran berbeza memandangkan ia sudah lama dalam simpanan.
"Saya tahu ada lagu-lagu yang belum dilancarkan dan kita boleh duduk berbincang kerana SRC juga bagaikan keluarga bagi saya.
Siti terbuka mahu berbincang dengan SRC.
"Situasi sekarang berbeza, suara saya pun sudah lain. Kalau peminat suka cara nyanyian lama mungkin mereka boleh terima.
"Hendak rakam semula kesemua lagu-lagu itu pun perlu ada perbincangan sebab ia mengambil masa," katanya kepada mStar.
Siti berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran OST filem Telaga Suriram nyanyiannya berjudul Sesal yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Isnin.
Bercerita lanjut mengenai perkara itu, Siti memberitahu dia sendiri sudah terlupa kesemua tajuk lagu-lagu berkenaan kerana sudah terlalu lama.
ARTIKEL BERKAITAN: 11 buah lagu Siti Nurhaliza masih dalam 'peti besi' SRC
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza mohon maaf, terkhilaf promosi produk tanpa selidik
Kata Siti, dia juga terbuka sekiranya SRC mahu meminta penyanyi lain merakamkan semula lagu-lagu berkenaan dalam versi baharu.
"Setiap album kita akan rakam lagu lebih. Saya sendiri tak ingat lagu-lagu yang belum dilancarkan.
“Sekiranya SRC mahu rakamkan semula dengan penyanyi lain saya tiada masalah. Itu hak mereka,” ujarnya.
Untuk rekod, Siti pernah merakamkan sebanyak 11 buah album bersama SRC.
Ada 11 lagu yang masih belum dilancarkan pihak SRC.
Album terakhir Siti bersama SRC diterbitkan pada 2004 berjudul Prasasti Seni memuatkan 13 buah lagu.
Selepas tidak menyambung kontrak bersama SRC yang tamat pada 2006, Siti menerbitkan sendiri albumnya menerusi syarikat miliknya Siti Nurhaliza Productions (SNP).
Sebelum ini, pengarah urusan SRC iaitu Edwin Tan mendedahkan pihaknya masih mempunyai 11 buah lagu nyanyian penyanyi tersohor itu dalam simpanan mereka.
Meluahkan hasrat melancarkan kesemua lagu tersebut buat peminat, Edwin bagaimanapun memberitahu perlu berbincang dengan Siti terlebih dahulu mengenainya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!