suria

Shiha Zikir rahsiakan dulu kunjungan ke studio Qarma, kongsi perbualan dengan Malique

Shiha beri bayangan ada kolaborasi bersama Malique.

SUSULAN kemunculan penyanyi Shiha Zikir di studio milik rapper terkenal Malique, ramai mula tertanya-tanya sama ada akan ada kolaborasi di antara mereka tidak lama lagi.

Menguatkan lagi perkara itu apabila Malique atau Cairel Edrin Ibrahim, 48, sendiri yang memuat naik sendiri foto Shiha bersama produser Trip Disz di studio rakaman miliknya iaitu Qarma menerusi akaun Instagram miliknya.

Menjawab perkara itu, Shiha atau Nurshiha Mohd Zikir, 38, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

Shiha anggap Malique seperti seorang sifu.

Sebaliknya kata Shiha, biarlah perkara itu kekal rahsia sehingga tiba waktu yang sesuai.

“Setakat ini apa yang saya boleh katakan adalah proses pembikinan lagu masih lagi dalam perancangan,” katanya kepada mStar.

Shiha berkongsi perkara itu ketika ditemui di Majlis Ukhuwah Raya Datuk Seri Rossa yang berlangsung di Saloma Kuala Lumpur pada Rabu.

Sementara itu, ditanya mengenai topik perbualan mereka ketika bertemu, Shiha memberitahu Malique banyak memberi nasihat kepadanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada projek baharu ke? Foto Shiha Zikir di studio Malique buat peminat tertanya-tanya

ARTIKEL BERKAITAN: Dua tahun pendam perasaan, Shiha Zikir hilang sabar individu berterusan sebar fitnah

Ini termasuk memintanya agar tidak terburu-buru dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

“Saya sentiasa menganggapnya sebagai seorang sifu dan dia sentiasa memberi nasihat termasuk berpesan agar tidak terburu-buru dalam melakukan sesuatu perkara,” katanya.

Untuk rekod, Malique memutuskan menyepi dari dunia seni hampir 20 tahun lalu namun masih bergiat aktif dalam penghasilan lagu dan kerja-kerja di belakang tabir.

Antara karya terkini bekas anggota kumpulan Too Phat itu termasuklah lagu berjudul Angan yang dinyanyikan Shiha bersama Ben Ladin pada 2023.

Kunjungan Shiha ke Studio Qarma.

Dalam perkembangan lain, Shiha memberitahu bakal melancarkan single terbaharunya bulan depan.

Menariknya kata Shiha, lagu terbaharunya itu bakal memperlihatkan dia tampil dengan lagu genre balada yang cukup istimewa dihatinya.

Shiha menyifatkan karya terbaharu memiliki makna tersirat yang berkisarkan pengalaman peribadi hidupnya.

"Pengalaman ini sangat dekat dengan diri saya. Shiha berharap agar lagu ini mampu menjadi peneman kepada peminat yang mungkin mengalami nasib serupa," tambahnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain