BEKAS anggota kumpulan Senario iaitu Yassin Yahya mengaku dia adalah individu yang ditahan polis dalam kejadian pergaduhan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu. Pelawak senior itu bagaimanapun menafikan terbabit dalam pergaduhan berkenaan sebaliknya berada di lokasi bagi membantu seorang lelaki yang mengalami sesak nafas. “Waktu itu saya tengah makan di sebuah kedai mamak. Kemudian isteri saya telefon beritahu ada kekecohan berlaku di hotel. ARTIKEL BERKAITAN: Pelawak senior ditahan terbabit pergaduhan “Ketika saya sampai, saya lihat seorang lelaki sedang semput terbaring di atas lantai. Kemudian dia minta saya panggilkan teman wanitanya yang ketika itu berada di lobi hotel. Tapi wanita itu tak pedulikan dia. “Saya naik semula ke tingkat atas dan dia minta saya memberikan bantuan pernafasan (CPR). Bila keadaan dia sudah stabil, saya balik ke bilik dan bersiap untuk ke majlis rumah terbuka. “Ketika saya hendak keluar dari lobi hotel, pihak polis sampai dan mereka menahan saya,” katanya kepada mStar. Yassin aktif bermain untuk pasukan MASC. Yassin ditemui pada majlis sidang media perlawanan bola sepak antara bekas pemain kebangsaan Singapura menentang pasukan Malaysian Artiste Sports Club (MASC) bagi merebut Singapore Malaysia Celebrity Cup yang bakal berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 5 Oktober ini. Dalam pada itu, Yassin menegaskan berlaku salah faham apabila salah seorang dari suspek yang ditahan memiliki dadah bersamanya. Selain itu, Yassin turut menafikan dia mengenali dua individu yang ditahan bersamanya susulan kes pergaduhan itu. “Pada asalnya mereka bergaduh berdua sahaja. Tiada kena-mengena dengan saya pun. “Cuma saya ditahan kerana terlibat beberapa kes lampau. “Sebab itu saya ditahan reman dan tidur di lokap satu malam sebelum kes itu dibawa ke mahkamah dan saya beritahu saya dianiaya. Alhamdulillah, saya dibebaskan tanpa syarat,” ujarnya. Yassin sebelum ini ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam pergaduhan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu. Dia ditahan bersama dua lagi individu yang kemudiannya diarah menjalani ujian air kencing selepas penemuan paket berisi dadah daripada salah seorang suspek.