PENYANYI Sufi Rashid mempertahankan tindakan isterinya Nurulain Md Yusof yang meninggalkan pelamin sewaktu ibu Sufi iaitu Irma Suriana Mahamud datang bersalaman dengan anaknya itu. Menurut Sufi, isterinya tidak berniat untuk bersikap kurang ajar dengan 'melarikan' diri sebaliknya enggan mengeruhkan keadaan. ARTIKEL BERKAITAN: Sufi Cuba Selesaikan Isu Gaduh Dengan Ibu ARTIKEL BERKAITAN: Sufi zahirkan rasa kecewa… Ibu terus ‘serang’ pertunangannya "Saya ingin menegaskan tentang video yang sedang disebar tentang ibu dan isteri saya. Kedua-dua wanita ini adalah bidadari hati saya. Tanggungjawab saya sebagai anak dan suami adalah amanah saya untuk mereka berdua sihat dan bahagia di dunia dan Insyaallah, di akhirat. "Isteri saya bukan tidak hormat atau mahu larikan diri... malah, sebabkan rasa hormatnya pada orang lah antara sifat yang saya kagumi dari awal saya kenal dia. Semasa menunggu ketibaan ibu saya, isteri sudah keluarkan tangisan di matanya, badan dia sudah menggeletar. "Bukan takut, tapi isteri saya sudah bertahun pendam perasaan dengan penuh kesabaran atas tindakan yang diberikan pada dia. Tidak sekali pun isteri saya menceritakan apa yang dia lalui sebab dia tidak mahu mengaibkan sesiapa," ujarnya. Sufi memuat naik kenyataan di laman Facebook miliknya. Kata Sufi lagi, adalah lebih baik dia mengunci mulut mengenai perkara ini sebagai menghormati kedua ibu dan isterinya kerana enggan isu ini berpanjangan. "Walaupun saya dan keluarga serta saudara mara saya tahu akan hal yang sebenar, kami tidak akan sesekali menceritakan. "Dosa besar bagi kami sebagai hambaNya untuk menyebar aib kami sendiri secara terbuka, apatah lagi aib orang lain yang mungkin tidak pasti. "Saya minta jasa baik semua untuk berhenti berkongsi video tersebut kerana ia boleh terjadinya fitnah, walaupun tidak sengaja," katanya. Dalam pada itu, Sufi turut meminta orang ramai berhenti menyebarkan video berkenaan terutamanya dalam memberi pandangan yang mampu melukakan hati ibu dan keluarga isterinya. Hanya tuhan yang tahu betapa sakitnya (perasaan) isteri dan keluarganya melihat video itu. SUFI RASHID Penyanyi "Hanya tuhan yang tahu betapa sakitnya (perasaan) isteri dan keluarganya melihat video itu. Mereka dah lalui dugaan yang amat berat lebih daripada anda semua pernah lalui. "Tolong berhenti menilai dan jadilah hamba Allah yang baik. Mereka berdua saling menghadapi tekanan dan dugaan dalam kehidupan dunia yang sementara. Tetapi beratnya dugaan mereka, hanya Allah saja yang tahu. "Saya minta maaf jika ianya melibatkan ramai orang. Saya juga minta maaf jika ianya membuat orang ramai keliru dan marah secara tidak sengaja. Dan saya juga memaafkan semua, Insyaallah," katanya. Terdahulu, tular sebuah video memaparkan isteri Sufi, Nurulain bertindak meninggalkan pelamin sewaktu Irma datang bersalaman dengan anaknya itu. Selain itu, beberapa keping gambar memperlihatkan Nurulain dan Irma bermasam muka turut bertebaran sehingga ia mengundang komen negatif netizen yang menyifatkan Nurulain sebagai biadab. Hubungan cinta Sufi dan Nurulain sebelum ini tidak direstui ibunya, Irma. Hubungan Sufi dan ibunya mula berantakan selepas Sufi membuat keputusan untuk berkahwin dengan Nurulain namun ia tidak mendapat restu dari ibunya. Sementara itu, Irma melalui Facebook miliknya meluahkan rasa sedih apabila mendakwa diperlakukan ibarat penjenayah sewaktu menghadiri majlis perkahwinan anaknya itu. Hal itu berpunca apabila ada pihak dikatakan cuba menghalang Irma dan beberapa ahli keluarganya yang lain daripada memasuki kawasan majlis perkahwinan itu dilangsungkan. "Sejujurnya saya minta maaf buat semua kenalan dan sahabat-sahabat kerana tidak kesampaian untuk mengundang anda. "Hampa dan remuk di perlakukan begini. Sesungguh nya saya ibu kepadanya dan terang-terang nama saya ada di kad undangan itu sabagai mak pengantin. "Malangnya setibanya saya, anak-anak serta menantu, kami diperlakukan seperti penjenayah yang ingin merosakkan majlis itu. Saya di tahan dan di halang untuk masuk. Sedangkan itu ialah majlis satu-satunya anak lelaki saya," tulisnya.