suria

“Saya bukan orang yang berkira, kalau percuma pun tiada masalah!” - Noraniza Idris kesal isu bayaran tinggi Konsert Karya Agung Pak Ngah

Noraniza Idris tidak diperjelaskan secara lanjut mengenai konsert itu dan meletakkan harga pada rate biasa.

PENYANYI Noraniza Idris mengakui kesal apabila isu bayaran tinggi dikatakan menjadi salah satu sebab dia tidak dijemput untuk menjayakan Konsert Karya Agung Pak Ngah yang akan berlangsung pada bulan depan.

Noraniza, 51, berkata salah faham mengenai isu bayaran itu timbul kerana tiada perbincangan antara dia dengan pihak penganjur.

"Mereka (penganjur) ada mesej saya melalui Whatsapp membuat jemputan untuk konsert ini dan tanya mengenai harga, saya hanya bagi rate biasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenapa Noraniza Idris tidak dipilih pada konsert Karya Agung Pak Ngah? Ini penjelasan KP Istana Budaya

"Tawaran itu dibuat secara umum dan saya tak dimaklumkan secara lanjut mengenai konsert ini, kalau mereka terangkan rasanya tak ada masalah. Kalau nak bagi percuma pun boleh!

"Sedih bila orang bercakap mengenai isu bayaran sedangkan ia hanya salah faham dan saya pun bukanlah berkira sangat lebih-lebih lagi bila ada kaitan dengan Allahyarham Pak Ngah. Patutnya adakan perjumpaan dulu baru kita faham!," katanya kepada mStar.


Noraniza tidak diterangkan secara lanjut mengenai konsert tersebut.

Sebelum itu, peminat mempersoalkan mengenai ketiadaan ratu etnik kreatif ini dalam konsert yang akan diadakan selama dua hari mulai 14 November depan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani menjelaskan pemilihan artis yang dibuat mengikut kesesuaian dan terpaksa melupakan hasrat untuk memanggil beberapa artis asal termasuk Noraniza Idris berikutan kekurangan bajet.

Katanya, barisan artis yang sudah dipilih memberi harga yang cukup bersesuaian dengan bajet yang disediakan dan sanggup memberikan harga 'kawan-kawan.

Noraniza sedang sibuk dengan aktiviti Malay World Cultural Paradise (MWCP) sehingga hujung tahun ini.

Dalam konsert tersebut, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah antara barisan artis yang bakal membuat persembahan bersama Orkestra Tradisional Malaysia.

Selain Siti, Ernie Zakry, Syamel, Asmidar dan Roger akan turut membuat persembahan.

Saya ada hubungi Datuk KP dan minta penjelasannya. Tak sedap apabila orang mengaitkan nama saya dengan harga bayaran tinggi itu!

NORANIZA IDRIS

Penyanyi

Sementara itu, penyanyi lagu Hati Kama ini berkata dia ada menghubungi Juhari dan meminta penjelasannya mengenai kenyataan yang dilaporkan media itu.

"Saya ada hubungi Datuk KP dan minta penjelasannya. Tak sedap apabila orang mengaitkan nama saya dengan harga bayaran tinggi itu.

"Kita bukan tak kenal, jangan sebab nak selamatkan orang lain kita hukum orang lain pula. Apa-apa pun Datuk KP sudah memohon maaf dan dia sendiri tak sangka isu ini akan timbul," ujarnya.

Dari kiri; Asmidar, Ernie Zakri, Siti Nurhaliza, Syamel dan Roger akan menjayakan konsert tribute tersebut.

Bagaimanapun Noraniza berkata, sekalipun dia ditawarkan projek tersebut, dia berkemungkinan terpaksa menolak kerana terikat dengan jadual padat sehingga hujung tahun ini.

"Jadual saya agak padat tahun ini, saya terikat dengan program kebudayaan dan pelancongan mencari pelapis baharu dalam bidang seni.

"Program kami berjalan setiap hari Sabtu dan Ahad program itu berjalan di Melaka dan Kuala Lumpur, jadi saya sebagai tenaga pengajar perlu berada bersama mereka sehingga 15 Disember ini.

"Ikutkan rancangan memang kita nak buat konsert untuk Pak Ngah tahun ini tapi tak kesampaian... Insya-Allah mungkin tahun depan akan ada volume 2 konsert tribute untuk Allahyarham," katanya.

Noraniza Idris

Artikel Lain