suria

“Ramai cakap buruk di belakang, saya harapkan ada ganjaran di akhirat nanti” - Aliff Aziz cerita insiden bergelut dengan polis

Aliff Aziz bersyukur masih ada pihak yang masih mendoakan kebaikan untuknya.

SELEPAS menggemparkan dunia hiburan dengan video tular bergelut sebelum ditangkap pihak berkuasa pada Ahad lalu, pelakon Aliff Aziz tampil mengucapkan terima kasih kepada yang memberikan kata-kata semangat kepada dirinya.

Aliff menerusi Instagram ibunya Siti Hafizah Sheikh Mohamad berkata, ini merupakan tahun yang mencabar buat dirinya apabila ditimpa pelbagai ujian.

ARTIKEL BERKAITAN: “Enggan beri kerjasama dan terus cetus kekecohan” - Aliff Aziz ditahan ganggu ketenteraman awam ketika mabuk

ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Aziz dah bebas, nampak ceria dapat usik anak - “Okay... daddy bagi toys”

“Terima kasih... ramai orang mesej secara peribadi dan ambil berat tentang saya, masih ada orang yang berhati baik.

“Tahun paling berat untuk saya dari segi spiritual dan mental tapi Insya-Allah saya akan belajar menjadi lebih kuat selepas ini,” ujarnya.

Pada Ahad lalu, Aliff, 28, ditahan pihak polis Singapura kerana menganggu ketenteraman awam dalam keadaan mabuk.

Menerusi laporan berita Mediacorp, penyanyi itu ditahan Pasukan Polis Singapura (SPF) kira-kira pukul 6.40 pagi di kawasan Orchard Road.

Pihak polis mengesahkan perkara itu selepas dua video tular membabitkan penyanyi tersebut.

Dalam kejadian itu, Aliff didapati bergaduh dengan seorang lelaki. Dia kemudian ditangkap di bawah Seksyen 14(2)(b) Akta Kawalan Arak.

Tahun paling berat untuk saya dari segi spiritual dan mental tapi Insya-Allah saya akan belajar menjadi lebih kuat selepas ini.

ALIFF AZIZ

Penyanyi

Sementara itu bercakap mengenai komen negatif netizen tentang kejadian berkenaan terutamanya berhubung tindakan dia menghubungi bapanya ketika ditangkap pihak polis, Aliff berkata, ia perkara biasa apabila seorang anak meminta bantuan bapa.

“Jika umur saya 40 atau 50 tahun sekalipun, sekiranya bapa saya masih hidup dia tetap menjadi bapa saya.

“Banyak perkara berlaku pada ketika itu yang saya tak boleh ingat... sebenarnya saya tak perlu jelakan dengan lanjut kerana banyak cerita sudah ditulis seperti mabuk dan cari fasal.

“Selagi saya masih bernafas, saya akan cuba perbaiki. Saya mengharapkan ada ganjaran di akhirat nanti walaupun bukan kerana kebaikan yang dibuat, tapi kerana ramai orang suka bercakap buruk di belakang saya,” katanya.

Artikel Lain