suria

“Tuduhan nusyuz terlalu berat, jatuhkan maruah saya” - Isteri Da'i Farhan kesal dituduh derhaka sehingga diceraikan

Fatin dan Farhan mempunyai seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia setahun empat bulan.

SUSULAN kontroversi berhubung perceraian Da'i Nik Farhan ketika isteri sedang hamil tujuh bulan, isteri pertamanya itu menafikan telah menderhaka terhadap suami sehingga berlaku perceraian.

Fatin atau nama sebenarnya Nurul Ain Mat Aris dalam satu kenyataan panjang lebar pada Rabu menjelaskan tuduhan kononnya dia berlaku nusyuz terhadap suami seperti yang didedahkan individu melalui posting di Facebook terlalu berat dan menjatuhkan maruahnya sebagai seorang wanita. 

ARTIKEL BERKAITAN: “Abang ceraikan sayang dengan talak satu” - Da’i Farhan mengaku cerai isteri pertama tapi nafi lakukan kekerasan

"Tulisan kali ini bertujuan untuk mempertahankan maruah saya dan juga keluarga saya apabila saya didakwa menjadi isteri yang nusyuz.

Fatin memberi penjelasan menerusi laman Facebooknya.

"Seorang isteri dikira nusyuz apabila ingkar atau menderhaka terhadap suaminya tanpa sebab munasabah dan seorang suami juga dikira nusyuz apabila melakukan kezaliman terhadap isteri.

"Justeru, berdasarkan definisi ini, saya ingin nyatakan tiada pun tindakan saya yang boleh mengatakan bahawa saya ini nusyuz.

"Jika benar ingin menyatakan saya nusyuz eloklah membawa kes dengan mengemukakan tuntutan di Mahkamah Syariah atau Bahagian Pendakwaan, Jabatan Agama Islam bagi mensabitkan seorang isteri itu nusyuz," tulisnya di Facebook.

Pengertian nusyuz bermaksud keengganan isteri menuruti perintah atau derhaka terhadap suami.

Menerusi laporan mStar pada Rabu, Farhan atau nama sebenarnya Nik Ahmad Farhan Nik Mohamad, 29, mengakui dia sudah menceraikan Fatin dengan talak satu menerusi rakaman suara pada aplikasi WhatsApps, tengah hari, Selasa.

Saya ingin nyatakan tiada pun tindakan saya yang boleh mengatakan bahawa saya ini nusyuz.

FATIN

Pada malam Selasa, tular kenyataan seorang individu di Facebook yang menuduh Nik Farhan menceraikan isterinya yang kini sedang sarat hamil tujuh bulan.

Inidvidu yang dikenali sebagai Asiah Jalil itu mendakwa Fatin diceraikan kerana nusyuz dan memfitnah suaminya.

Dakwa Asiah pendakwah tersebut juga mengurung dan memukul isteri pertamanya sebelum melafazkan cerai menerusi rakaman suara di aplikasi WhatsApps.

Malah satu rakaman suara lafaz cerai yang dipercayai milik pendakwah bebas itu turut tersebar di media sosial.

Dalam pada itu, Fatin meluahkan rasa sedih apabila menerima tuduhan tersebut tanpa melalui proses pengadilan.

Bagaimanapun, Fatin memberitahu tujuan dia memberi penjelasan itu disebabkan ingin membersihkan nama keluarganya yang tercalar disebabkan dakwaan tersebut.

"Amat malang bagi diri saya kerana saya menerima hukuman nusyuz ini tanpa melalui proses pengadilan yang sepatutnya dan saya terpaksa berhadapan dengan respons masyarakat yang pelbagai.

Foto kanan Da'i Farhan bersama isterinya yang telah diceraikan dengan talak satu sementara foto kiri pula gambar perkahwinanya bersama isteri kedua iaitu Aireen.

"Saya berharap dengan tulisan saya ini dapat sedikit sebanyak mengubati hati keluarga saya yang tidak mampu melihat anak atau kakak mereka dimalukan dengan dakwaan berat (nusyuz) ini sehingga diceraikan tanpa bertentang mata dan melalui saluran mahkamah yang sepatutnya," ujarnya.

Sementara itu, Fatin juga membuat laporan polis disebabkan dirinya berasa terancam dan takut selepas menerima pelbagai tohmahan daripada segelintir netizen.

Menurut sumber terdekat, Fatin kini sudah menguruskan urusan perceraiannya di Mahkamah Rendah Syariah Besut, Terengganu.

Minggu lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan pendedahan Farhan yang menikahi seorang janda beranak lapan yang juga usahawan dikenali sebagai Dr Aireen di Makkah. 

Farhan berkahwin dengan Fatin pada 19 Februari 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan berusia setahun empat bulan.

Manakala Fatin kini sedang hamil tujuh bulan dan dijangka melahirkan anak lelaki pada Februari tahun hadapan.

Da'i Farhan, Fatin, Cerai

Artikel Lain