suria

Bisnes bersama Zain Saidin lingkup... rakan kongsi diburu ah long, tanggung hutang lebih RM300,000

Menurut Warren, Zain tidak mengeluarkan modal kewangan berjanji untuk mengurus soal promosi.

TAHUN 2019, bagaikan mimpi ngeri buat seorang usahawan selepas kolaborasinya dengan seorang artis popular dalam perniagaan lingkup.

Bukan sahaja menanggung hutang keseluruhannya kira-kira RM300,000 malah nyawa pemuda itu turut terancam selepas diburu peminjam hutang, ah long.

Itulah yang berlaku buat selebriti dan rakan kongsinya, Warren Fernandez apabila kerjasama perniagaan dengan pelakon Zain Saidin tidak menjadi.

Ia hanya mampu bertahan selama setahun sahaja sebelum mereka membuat keputusan untuk menamatkan operasi pada Jun tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Berlakon Hanya Boleh Kaya Sementara - Zain Saidin

Cerita Warren atau nama Islamnya Adam Warren Fernandez Abdullah, kerjasama antara mereka bermula selepas dia diperkenalkan kepada Zain oleh seorang kenalan.

Antara perkongsian yang dimuat naik Warren (gambar kiri, tengah) di laman Facebook miliknya.

"Sejujurnya saya tak nampak bagaimana kami boleh jalinkan kerjasama itu tapi selepas beberapa kali berbincang, kami akhirnya teruskan atas dasar percaya dan tiada apa-apa perjanjian atau hitam putih dibuat.

"Perjanjian itu adalah saya buka kedai gunting rambut dan Zain akan buka kedai kasut Zapatos termasuklah beg tangan yang dijual Che Ta (Rozita).

"Zain juga akan uruskan segala bahagian yang melibatkan marketing dan exposure," ujarnya kepada mStar.

Warren turut meluahkan hal berkenaan di Facebook miliknya.

Warren pernah menjadi tetamu dalam Mimbar Pencetus Ummah untuk berkongsi pengalamannya kerana memeluk Islam.

Jelas Warren, Zain tidak mengeluarkan modal kewangan bagi menjalankan perniagaan mereka yang terletak di Kota Damansara, Selangor.

"Sewa kedai di Kota Damansara itu mencecah RM15,000 sebulan. Pada awalnya saya sangsi untuk menyewa di situ, namun Zain dan rakannya yakinkan saya bahawa mereka mampu berbekalkan marketing yang baik.


Saya dah tak cukup duit untuk tanggung segalanya dan Zain tahu saya ada pinjam daripada ah long.

WARREN FERNANDEZ

RAKAN KONGSI ZAIN SAIDIN

"Kemudian mereka minta untuk ubah suai kedai sehingga kosnya mencecah RM100,000. Ketika ini saya dah habis banyak duit, semuanya modal saya sendiri.

"Apabila kerja ubah suai mengambil masa lebih dua bulan daripada tarikh yang dijanjikan, saya terpaksa pula menanggung kos untuk membayar gaji pekerja," katanya.

Tambah Warren, dia cuba mendapatkan bantuan kewangan daripada Zain namun tidak berhasil.

"Dia beritahu tugasnya hanya untuk memastikan pelanggan ramai datang ke kedai kami. Tapi apa yang saya nampak pula sebaliknya. Ada seorang dua sahaja artis yang datang... tapi masih tak membantu," katanya lagi.

Akibat tersepit dengan beban hutang, Warren berkata dia akhirnya terjebak dengan kaedah pinjaman wang tanpa lesen atau ah long.

"Saya dah tak cukup duit untuk tanggung segalanya dan Zain tahu saya ada pinjam daripada ah long, cuma dia tak tahu jumlah pinjaman," ujarnya.

Warren terpaksa menamatkan perniagaan pada Jun 2019 selepas terpaksa menanggung bebanan hutang lebih RM300,000.

Namun jelas Warren, dia enggan meletakkan apa-apa kesalahan terhadap Zain kerana mengakui kegagalan dalam perniagaan itu berpunca daripada kesilapan dirinya sendiri.

"Sepanjang perniagaan itu beroperasi, saya hanya mampu meraih sekitar RM5,000 sahaja sebulan," katanya.

Bagaimanapun menurut Warren, segala beban hutang dan buruan ah long itu dapat diatasi selepas individu yang merupakan ahli keluarganya membantu melangsaikan pinjaman berkenaan.

"Saya bersyukur, ketika saya tersepit dalam kesusahan sehingga diburu ah long, Allah memakbulkan doa saya apabila ahli keluarga saya sendiri datang membantu," katanya.

Sementara itu Zain ketika dihubungi mStar enggan mengulas mengenai perkara berkenaan kerana menyifatkan ia sebagai hal peribadi.

"Maaf, saya tak nak komen untuk benda itu semua sebab ianya hal peribadi," tulisnya ringkas.

Artikel Lain