suria

Isu buka tudung, penyanyi antarabangsa Ali Gatie dan Aazief Khalid bela Sharifah Rose - “Di mata saya awak seorang yang baik”

Nama Ali Gatie dan Sharifah Rose trending di Twitter.

ISU penularan foto model hijabista, Sharifah Rose tidak memakai tudung sewaktu bercuti di Phuket, Thailand turut mendapat perhatian penyanyi antarabangsa, Ali Gatie.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu It's You itu menyatakan sokongan dan kata-kata semangat kepada Sharifah Rose di laman Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ia 10 minit paling bodoh dalam hidup” - Gambar freehair bercuti di Phuket bersama lelaki mirip anak Datuk K tersebar, Sharifah Rose mohon maaf

Menurut Ali Gatie, sebagai manusia biasa wanita itu tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Ali Gatie puji tindakan Sharifah Rose memohon maaf dan menjelaskan isu buka tudung.

"Kita semua manusia! Saya sayang dan sokong awak! Hanya orang yang matang akan memberi reaksi seperti ini.

"Kami semua berbangga dengan awak @sharifahrose," tulis Ali Gatie.

Tweet yang dimuat naik Ali Gatie menarik perhatian netizen di laman sosial yang tidak menjangkakan penyanyi itu tampil mempertahankan instafamous berkenaan.

Malah, nama Sharifah Rose dan Ali Gatie turut menjadi trending di laman sosial.

Kita semua manusia! Saya sayang awak dan sokong awak! 

ALI GATIE

PENYANYI

"Artis antarabangsa pun sokong dia. Kita ini manusia dan tak akan pernah terlepas buat salah. Sudah-sudahlah cari fasal.

"Muka lawa boleh la Ali Gatie back up. Cuba kalau muka macam aku ni buat salah member aku yang nama Ali pun takkan back up," komen beberapa netizen.

Sebelum ini, Sharifah Rose menjelaskan foto yang tersebar itu diperoleh daripada IG Story salah seorang rakannya yang turut sama bercuti di pantai peranginan tersebut.

Menurut Sharifah Rose, tindakannya itu hanya dilakukan dalam tempoh 10 minit disebabkan tudung yang dipakai ketika itu berada dalam keadaan basah.

Foto Sharifah Rose tidak memakai tudung tular di laman sosial.

Sharifah Rose turut memohon maaf kepada para pengikutnya di laman sosial atas tindakannya yang dianggap kurang cerdik.

Dalam pada itu, kekasih kepada Sharifah Rose iaitu Aazief Khalid juga tampil memberi sokongan kepada wanita berusia 22 tahun itu.

"Awak seorang anak perempuan yang bertanggungjawab, sahabat setia dan mempunyai hati yang baik.

"Di mata saya dan orang yang rapat awak tahu yang awak adalah seorang yang baik. Awak lebih baik daripada saya.

"Kadang-kadang segelintir orang lupa yang kita juga adalah manusia biasa yang membuat kesilapan tanpa disedari. Semuanya akan menjadi okey," tulisnya di Instagram.

Artikel Lain