TINDAKAN penyanyi Shahir Zawawi meluahkan perasaan menerusi video di laman sosial berkaitan layanan di sebuah hospital di percayai di Shah Alam mengundang kecaman netizen. Penyanyi yang popular dengan lagu Kebahagian Dalam Perpisahan ini dianggap melakukan kesalahan dengan membuat rakaman di tempat yang tidak dibenarkan. Malah, aduannya terhadap hospital berkenaan dikatakan tidak mengikut prosedur yang sepatutnya. ARTIKEL BERKAITAN: Ia Hanya Luahan Peribadi Shahir “Penyalahgunaan jabatan kecemasan lagi sampai nak rekod video. Demam biasa banyak klinik berdekatan boleh pergi. “Kalau dah tiga hari demam kenapa datang hospital pagi-pagi buta? Kata sakit, tapi masih boleh jalan dan dan bercakap! “Anda sebagai public figure haruslah menunjukkan contoh yang baik,” komen netizen di Twitter. Pengguna Youtube dan Twitter kecam tindakan Shahir. Menerusi video berkenaan Shahir memberitahu dia ke hospital berkenaan pada pukul 1.50 pagi selepas mengalami demam selama tiga hari. Bagaimanapun, seorang petugas memintanya pulang dan menasihatkan supaya pergi ke klinik kesihatan pada siang hari. "Saya bertanggungjawab datang seorang diri dari rumah sebab saya sudah tak tahan demam sudah tiga hari. "Kalau bukan kecemasan saya takkan datang... sepanjang perjalanan saya hampir muntah, nak pitam dan hampir kemalangan. Saya datang sebab saya betul-betul sakit. "Kalau demam... itukan simptom Covid-19, saya duduk sendirian kalau apa-apa jadi saya tak sedarkan diri siapa yang tolong?" katanya. Saya minta maaf kalau ada yang tersinggung, saya bukan nak cari publisiti! SHAHIR PENYANYI Rakaman video itu tular di laman Youtube dan Twitter pada Sabtu. Dalam video tersebut, Shahir dilihat berada di perkarangan unit kecemasan dan diarahkan pulang ke rumah oleh seorang petugas yang turut melarangnya membuat sebarang rakaman video. Sementara itu, Shahir berkata perkongsiannya ini bukan berniat untuk memburukkan mana-mana pihak. Dia juga meminta maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan apa yang dilakukannya itu.