suria

Amyza Aznan, Emelda tiada respons tuntutan RM4 juta, Zarina Anjoulie teruskan tindakan undang-undang

Zarina mengalami tekanan emosi dan kemurungan gara-gara posting dan komen Emelda dan Amyza.

PELAKON Zarina Anjoulie meneruskan tindakan undang-undang dengan mengemukakan saman fitnah terhadap Amyza Aznan dan Elmelda Rose atau Emelda Rosmila selepas kedua-dua pelakon itu gagal menjawab surat tuntutan pampasan sebanyak RM4 juta.

Peguam yang mewakili Zarina iaitu Nurul Hafidzah Hassan berkata, anak guamnya mengalami tekanan emosi dan kemurungan selepas terkejut dan berasa terhina dengan komen dan penyataan palsu terhadapnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Zarina Anjoulie tak duduk diam! Tuntut Amyza Aznan dan Emelda Rosemila bayar ganti rugi RM4 juta, mohon maaf terbuka

Menurut Nurul Hafidzah, Amyza dan Emelda seakan-akan tidak menghiraukan kebenaran dan menyiarkan cerita palsu biarpun mereka sudah mengetahui fakta yang sebenar sehingga catatan tersebut menyebabkan nama baik Zarina tercelar.



Peguam Nurul Hafidzah yang mewakili Zarina (kanan).

"Firma guaman kami mengemukakan saman fitnah tersebut hari ini setelah Emelda Rose dan Amyza Aznan gagal menjawab surat tuntutan anak guam dalam masa tujuh hari dan terus menyerang, mencemar dan memfitnah anak guam kami melalui kempen pembunuhan karakter ke atas dia.

"Anak guam kami, Zarina berasa terkejut, marah, terhina, malu, dan menderita tekanan emosi dan kemurungan kerana 'postings', komen dan pernyataan palsu yang dibuat dengan niat jahat terhadapnya.

"Catatan dan penyataan tersebut telah merosakkan reputasinya sebagai tokoh terkenal, di dalam dan luar negara. Emelda Rose dan Amyza Aznan tidak menghiraukan kebenaran, baik dari segi kekurangan pemeriksaan fakta dan/atau menyiarkan cerita palsu walaupun mengetahui fakta yang sebenar," tambah Nurul Hafidzah Hassan yang mengetuai kes itu bersama Zeti Zulkifli.

Anak guam kami, Zarina berasa terkejut, marah, terhina, malu, dan menderita tekanan emosi dan kemurungan kerana 'postings', komen dan pernyataan palsu yang dibuat dengan niat jahat terhadapnya.

NURUL HAFIDZAH HASSAN

PEGUAM

Menerusi laporan mStar pada 15 April lalu, pelakon sensasi itu menuntut pampasan RM4 juta daripada Amyza dan Emelda yang didakwa membuat kenyataan dengan niat menjatuhkan reputasinya di aplikasi Instagram dan Telegram.

Surat tuntutan tersebut telah dihantar secara berasingan di mana Zarina meminta dua selebriti itu membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar pampasan penyelesaian sebanyak RM4 juta kerana memfitnahnya.

Peguam yang mewakili Zarina mengatakan bahawa surat tuntutan tersebut tidak dijawab walaupun mereka berdua diarahkan menjawab dalam masa tujuh hari.



Kemelut antara Zarina, Emelda dan Amyza semakin berpanjangan.

Melalui saman yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan Kuala Lumpur itu, Zarina menuntut ganti rugi dan ganti rugi am, pembetulan penyataan yang salah, penghapusan catatan fitnah dan mendesak supaya Emelda dan Amyza tidak menyiarkan serta menerbitkan penyataan fitnah dan/atau catatan pada masa hadapan.

Emelda dan Amyza dengan sengaja dan secara tidak sengaja memberikan tekanan emosi kepada Zarina.

Dalam pada itu, pegawai perhubungan awam dan jurucakap kepada Zarina iaitu Saiful Ridzuan memberitahu tindakan undang-undang itu diambil kerana ingin melindungi nama, imej dan reputasi aktres tersebut.



Zarina failkan surat tuntut pampasan sebanyak RM4 juta terhadap Emelda dan Amyza.

"Zarina mengambil keputusan itu bagi melindungi jenama peribadi, imej dan reputasi beliau. Oleh kerana peningkatan fitnah di media sosial di negara ini, fitnah dalam talian di kalangan selebriti kini telah menjadi satu perkara biasa.

"Posting, komen and kenyataan mengenai dirinya sama sekali tidak benar. Fitnah di internet yang dibuat oleh kedua-dua individu tersebut mengenai Zarina telah menjatuhkan imej dan reputasinya dan kerosakan ini tidak dapat diperbaiki.

"Tingkah laku Emelda dan Amyza yang melulu dan berniat jahat, melalui jangkauan internet di seluruh dunia, kini telah menjejaskan nama baik dan reputasi Zarina pada skala antarabangsa," kata Saiful.

Artikel Lain