suria

Farid Kamil tampar polis, mahkamah hukum 13 bulan penjara

Farid Kamil sebelum ini dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan atas kesalahan menggunakan dadah.

PELAKON Datuk Farid Kamil ke penjara lagi selepas dia dihukum penjara 13 bulan kerana menggunakan kekerasan jenayah dan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap seorang anggota polis dalam kejadian kira-kira dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Majistret Nor Arifin Hisham selepas tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah dan dibuktikan bersalah terhadap dua pertuduhan terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: Farid Kamil khatam Al-Quran dalam masa 30 hari di penjara - “Saya buat benda yang tak pernah buat”

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Nor Arifin menjatuhkan hukuman 13 bulan terhadap pelakon itu bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah dan penjara empat bulan bagi pertuduhan mengeluarkan perkataan tidak sopan.



Mahkamah memerintah Farid Kamil menjalani kedua-dua hukuman secara serentak bermula Selasa.

“Selepas meneliti dan menilai keterangan dikemukakan pihak pembelaan, mahkamah juga melihat secara keseluruhan dan membaca hujahan pendakwaan dan pembelaan.

“Oleh itu, mahkamah mendapati Farid Kamil bersalah dan dihukum penjara 13 bulan bagi kesalahan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan penjara empat bulan bagi Seksyen 90 Akta Polis dan kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak,” katanya.

Mahkamah turut memerintah tertuduh membayar kos pendakwaan sebanyak RM5,000 stau menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar kos tersebut.

Farid didakwa melakukan kedua-dua kesalahan terhadap Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara di sini pada 1.20 tengah hari, 11 Januari 2018.

Pelakon yang diwakili peguam Kee Wei Lon, merayu mahkamah mengenakan hukuman berbentuk bon berkelakuan baik atau denda minimum atas alasan dia adalah penanggung utama keluarga yang menyara isteri dan dua anak serta ibu bapanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh.

Perbicaraan kes yang bermula pada 27 November 2018 telah menyaksikan tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi membelaan termasuk Farid memberi kakitangan. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain