suria

Ammar Alfian bercerai dengan cara tebus talak, bekas isteri diperintah bayar RM7,000

Ammar bersama dua orang peguam yang mewakilinya bagi kes perceraian dengan Nelissa Nezam.

KEMELUT rumah tangga pelakon Ammar Alfian dan Nelissa Nezam berakhir apabila Mahkamah Rendah Syariah, Wilayah Persekutuan pada Rabu membenarkan pasangan itu bercerai secara tebus talak.

Ammar atau nama sebenarnya Ammar Alfian Aziz Mohd Zakri, 33, menerusi Instagram miliknya berkata, bekas isterinya diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar iwad sebanyak RM7,000 kepadanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ammar Alfian enggan ceraikan isteri - “Apa niat dia? Kami sudah tidak bersama sejak setahun yang lalu”



Ammar berkongsi perkara itu di Instagram miliknya.

Malah pelakon filem Paskal ini juga memberitahu dia tidak akan memaafkan segala perbuatan Nelissa terhadap ibu dan bapanya.

"Alhamdulillah. Hari ini mahkamah benarkan saya dan bekas isteri bercerai secara tebus talak dengan bayaran iwad dibayar oleh bekas isteri kepada saya RM7,000.

“Apa yang dah dia lakukan terhadap ibu dan bapa saya tidak akan saya maafkan. Justice has been served, ” katanya.



Ammar dan Nelissa mempunyai seorang anak lelaki.

Menerusi laporan mStar pada 10 Ogos lalu, Nelissa meluahkan rasa kesal apabila Ammar menolak permohonan cerai yang difailkannya di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada Januari lalu.

Menurut Nelissa, dia tidak mengetahui niat sebenar Ammar dan menyifatkan tindakan aktor itu hanya akan merumitkan keadaan.

Ammar mendirikan rumah tangga dengan Nelissa pada Mac 2016 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki dinamakan Kyro Shakur yang kini berusia setahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain