BAPA kepada pendakwah muda Da’i Syed iaitu Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail menganggap apa yang berlaku terhadap anaknya itu merupakan ujian daripada Allah untuk mereka sekeluarga. Syed Mohammad Shaiful menerusi Facebook berharap anaknya itu yang kini direman bagi membantu siasatan kes rogol sentiasa bermuhasabah diri dan positif berdepan dugaan tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Da’i Syed direman 5 hari untuk siasatan kes rogol gadis Kata Syed Mohammad Shaiful lagi, dia juga reda dengan apa yang berlaku dan menyerahkan segalanya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. Antara status yang dimuat naik Syed Mohammad Shaiful berhubung kes anaknya, Da'i Syed. "Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Saya yakin Allah SWT sedang menguji kami sekeluarga tidak melebihi daripada had kemampuan hambanya. "Sama ada bersalah atau tidak, itu adalah teguran daripada Allah dan tanda sayangnya Allah SWT. Hadapi dengan positif dan muhasabah diri. "Saya reda apa yang berlaku, seperti yang pernah saya nyatakan sebelumnya, biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan dan menjatuhkan hukuman," katanya. Selepas beberapa hari membuat laporan atas dakwaan fitnah merogol gadis, pihak polis seterusnya bertindak menahan Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal pada Khamis malam bagi membantu siasatan kes itu. Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Sahat, suspek berusia 25 tahun itu ditahan sekitar pukul 11 malam selepas hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk memberi keterangan ekoran laporan polis daripada mangsa rogol pada Rabu lalu. Hari ini kita nampak hebat dan mulia di mata manusia kerana aib kita belum terbongkar. SYED MOHAMMAD SHAIFUL SYED JAMALULLAIL BAPA DA'I SYED Da'i Syed direman lima hari bermula Jumaat sehingga Selasa depan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan atas dakwaan merogol seorang gadis di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor pada September tahun lalu. Dalam pada itu, Syed Mohammad Shaiful memohon agar semua pihak menghentikan sindiran dan kecaman serta andaian terhadap apa yang berlaku pada keluarganya. Biarpun sebelum ini Da'i Syed pernah mendedahkan hubungan mereka tidak baik namun sebagai seorang bapa, Syed Mohammad Shaiful sentiasa mendoakan anaknya tabah dalam menghadapi dugaan tersebut. "Hentikanlah sindiran dan kecaman dan berandaian atas ujian ini. Setiap ujian itu datang secara tiba-tiba. Sesungguhnya setiap orang daripada kita ada anak atau keluarga dan sudah disediakan ujian dihadapannya dengan pelbagai rupa dan bentuk yang belum diketahuinya. Da'i Syed direman selama lima hari. "Kita semua tidak sempurna. Hari ini kita nampak hebat dan mulia di mata manusia kerana aib kita belum terbongkar. Semoga Allah memberi ketenangan hati buat Iqmal dan kami sekeluarga. "Kerana ketenangan jiwa adalah raja segala kebahagian walau di mana saja posisi kita diletakkan. Saya sebagai seorang bapa mendoakan Iqmal tabah dalam menghadapi ujian ini. "Jadikan Allah SWT tempat bergantung sepenuhnya. Sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi hambanya," ujarnya. Sebelum ini Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail menerusi laman Facebook mengakui sudah lama mendengar berita buruk yang membabitkan anaknya. Malah, Syed Mohammad Shaiful yang kini menetap di Cairo, Mesir turut mendedahkan anaknya mengabaikan segala mesej yang dihantarnya sejak dua tahun lalu. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! TONTON VIDEO PILIHAN!