suria

[VIDEO] Neelofa mahu selesai isu dakwaan langgar SOP tanpa tekanan - “Berikan saya ruang secara tertutup dan profesional”

PENGACARA dan usahawan popular, Noor Neelofa Mohd Noor mahu menyelesaikan isu dakwaan menyalahguna kebenaran rentas negeri serta majlis pernikahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) secara tertutup tanpa tekanan pihak luar.

Menurut isteri kepada pendakwah dan pelakon Haris Ismail ini, dia mahu diberikan ruang untuk menyelesaikan perkara berkenaan secara profesional.

“Berikan saya ruang untuk selesaikan isu ini secara tertutup dan profesional dengan pihak berkaitan.

ARTIKEL BERKAITAN: Neelofa dan PU Riz kena jawab isu video main jet ski di Langkawi, polis sedang siasat

“Biar saya selesaikan secara tenang tanpa melibatkan tekanan daripada mana-mana pihak.

“Kalau ada tindakan atau tiada tindakan (daripada pihak polis), saya akan selesaikan sendiri, ” katanya kepada mStar.

Neelofa, 32, ditemui pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Fipper dan aplikasi The Noor yang berlangsung di Hotel Marriot, Putrajaya pada Isnin.

Neelofa harap orang luar dapat memberikan ruang untuknya menyelesaikan semua isu yang timbul.

Sementara itu Neelofa juga berkata tiada keperluan untuknya mendedahkan segala perancangan melibatkan kerjanya kepada umum.

“Saya rasa tidak semua perkara saya perlu berkongsi kepada netizen (berkaitan kerja).

“Saya tidak mahu bercakap lebih kerana enggan memudaratkan keadaan, ” ujarnya lagi.

Pada Ahad, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pihak polis akan memanggil Neelofa dan suami, Haris atau Pencetus Ummah (PU) Riz berhubung dakwaan berlakunya pelanggaran SOP ketika mereka berada di Pulau Langkawi.

Saya rasa tidak semua perkara saya perlu berkongsi kepada netizen (berkaitan kerja).

NEELOFA

USAHAWAN/ PENGACARA

Menurut Abdul Hamid, berdasarkan video dan foto yang dikongsikan di media sosial pasangan itu didapati melanggar SOP.

“Apabila keluar sahaja gambar-gambar tersebut, maknanya kehadiran beliau (Neelofa) bersama suaminya itu melanggar SOP yang ditetapkan dan kita akan ambil tindakan.

“Jadi, dalam kes sebegini, wajarnya SOP polis adalah buka kertas siasatan yang mana dia (Neelofa) akan dipanggil untuk dirakamkan kenyataan termasuk berhubung gambar dan video yang viral, ” katanya.

Terdahulu, Neelofa dan Riz, 26, terbang ke Langkawi atas urusan kerja membabitkan pembukaan cawangan francais minuman terkenal.

Neelofa dan PU Riz diijabkabul pada 27 Mac lalu di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain