DAKWAAN pelakon Datuk Adi Putra yang tidak dapat menghubungi wakil Kembara Studios Sdn Bhd ditepis oleh penerbit dan pengarah urusan, Abdul Rahman Mt Dali. Abdul Rahman menjelaskan pihanya sudah berusaha untuk menghubungi kembali Adi pada malam Khamis namun tidak dijawab oleh aktor kelahiran Singapura tersebut. "Pada pukul 10.25 malam Khamis, Adi ada menghantar kiriman WhatsApp kepada adik saya selaku wakil Kembara Studios namun disebabkan kami sedang bermesyuarat, jadi dia minta tunggu sehingga selesai. "Sekitar 11 malam, adik saya ada menghubunginya kembali tetapi tidak mendapat jawapan," katanya kepada mStar. Adi mendedahkan di Instagram tentang rasa tidak puas hati apabila panggilan telefon yang dibuat tidak berjawab. Dalam pada itu, Abdul Rahman memberitahu tidak mengetahui punca kemarahan aktor itu memandangkan pada Khamis pihaknya dan Adi ada melakukan perbincangan dan ia berlangsung seperti biasa. "Saya tidak tahu bagaimanapun perkara ini boleh berlaku dan saya secara peribadi tidak melihatnya sebagai isu besar," jelasnya. ARTIKEL BERKAITAN: ‘Mat Kilau’ mengamuk... Adi Putra berang Kembara Studio gagal dihubungi, enggan sertai promosi filem di Jakarta ARTIKEL BERKAITAN: Dua kali tolak tawaran, akhirnya Adi Putra setuju bawa watak Mat Kilau Mengulas mengenai kenyataan Adi yang enggan hadir ke tayangan perdana Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan di Jakarta, Indonesia pada 26 Ogos ini, Abdul Rahman berharap pelakon itu dapat memberi alasan kukuh. Meskipun keputusannya itu tidak melanggar kontrak, namun kata Abdul Rahman kehadirannya dinantikan penonton di negara itu apatah lagi membawa semangat dan budaya Melayu. "Tindakannya itu tidak melanggar kontrak kerana kami tidak berbincang mengenai pemasaran filem tetapi sebaik-baiknya dia memberikan alasan yang boleh diterima kerana ramai menantikan kehadirannya. "Lagipun kita bawa semangat Malaysia dan budaya orang Melayu," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI