SUSULAN hukuman denda RM30,000 yang dikenakan berhubung tindakan memuat naik video babak panas di Instagram pada Mac lalu, pelakon Zul Ariffin berkata dia menerima keputusan mahkamah itu dengan hati terbuka. Zul atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin, 36, berharap hukuman yang diterima itu menjadi pengajaran kepada pelakon lain supaya berfikir terlebih dahulu sebelum memuat naik sebarang perkongsian di laman sosial. "Kita semua buat silap, sekurangnya ia jadi satu pengajaran kepada orang di luar sana pengajaran untuk pelakon-pelakon lain. "Kalau mereka suruh muat naik tu tak payahlah akur sangat. Kalau disuruh muat naik apa-apa kandungan, tidak perlulah beria-ia sangat. Betul tak? "Kalau disuruh juga untuk tujuan promosi, tolong berhati-hati dan jadikan saya sebagai contoh," katanya kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Zul Ariffin mengaku salah, didenda RM30,000 kerana ‘post’ video sumbang ARTIKEL BERKAITAN: Zul Ariffin hadir ke SKMM, dua jam beri keterangan isu klip aksi ghairah Zul berkata demikian ketika ditemui media di perkarangan Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor pada pagi Selasa. Ditanya adakah dia akan mengambil tindakan selanjutnya berhubung insiden ini, Zul berkata dia enggan memanjangkan isu ini kerana tidak mahu membuang masa ramai pihak. "Kita tak payah nak bercakap pasal kebenaran, orang pun tahu sebab semua orang tengok. "Tak mengapa... tiada tindakan lagi dari saya sebab lain yang terbabit semua malaikat, saya seorang sahaja tidak. "Sebab saya tak nak bazir masa semua orang, masa mahkamah, saya tak nak bazir masa sesiapa, jadi saya mengaku bersalah sebab memuat naik video tersebut di akaun Instagram saya," ujarnya. Zul dilihat tenang sebelum sesi perbicaraan. Terdahulu, Zul didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor, atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang di media sosial pada Mac lalu. Zul membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar. Pendakwaan terhadap pelakon itu dijalankan mengikut Seksyen 233 (1) (A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Sebelum ini, perkongsian video Zul mempromosikan drama Perempuan Itu mengundang pelbagai reaksi netizen apabila klip video itu dikatakan tidak sesuai untuk dipertontonkan khususnya di Malaysia kerana mengandungi elemen sumbang dan keterlaluan. Tindakan Zul itu bukan sahaja menjadi bualan netizen, malah turut menarik perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan pendakwah. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI