suria

“Kalau tak mungkin ke Penjara Sungai Buloh” - Selepas 2 tahun, Zed Zaidi dedah bebas tuduhan sebar berita palsu 

Zed Zaidi mendedahkan kes mahkamah melibatkan dirinya sudah selesai dua tahun lalu.

PRESIDEN Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi mendedahkan dia dibebaskan daripada tuduhan menyebarkan berita palsu berkaitan penularan Covid-19 menerusi laman sosial dua tahun lalu.

Zed atau Rozaidi Abdul Jamil, 42, berkata, keputusan pembebasannya daripada tuduhan tersebut tidak pernah dikongsi

"Saya bersyukur dengan kemenangan itu kerana apa yang dibuat sebelum ini adalah semata-mata untuk menjatuhkan imej saya dan hanya berunsurkan politik.

"Alhamdulillah saya dibebaskan daripada tuduhan berkenaan namun saya tidak pernah kongsikan mengenainya sebelum ini," katanya kepada mStar.

Zed berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran Astana Wedding Lounge di Skypark One City, Subang Jaya pada Sabtu.

Zed Peguam

Zed bersama dua peguamnya, Zamri Idrus (kiri) dan Mohd Fadly Hashim.

Pada 21 Februari 2020, Zed antara empat individu didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas tuduhan menyebarkan berita palsu berkaitan penularan Covid-19 menerusi laman sosial miliknya.

Zed bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi berita palsu koronavirus, Zed Zaidi antara empat individu didakwa di mahkamah

ARTIKEL BERKAITAN: Dah berbulan tiada pendapatan, Zed Zaidi gesa kerajaan benarkan penggambaran - “Perdana menteri tolong lepaskan kami bekerja”

Berdasarkan pertuduhan, Zed didakwa menggunakan aplikasi Twitter dengan akaun @rozaidijamil dengan niat menyebabkan kegentaran awam, justeru dikhuatiri mungkin terdorong mana-mana individu melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Pelakon tersebut didakwa berkongsi berita palsu berbunyi: Breaking News: All countries except Malaysia - All countries has banned Chinese tourist except Malaysia yang dimuat naik menerusi akaun Facebook dan Twitternya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 12.51 tengah hari, 27 Januari 2020 dan dikesan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Cyberjaya pada 10.30 pagi, 29 Januari 2020.

Bagaimanapun, pada 15 September tahun sama dia didapati tidak bersalah oleh mahkamah.

Zed Twitter

Ciapan yang dibuat Zed di Twitter.

Berkongsi mengenai pengalaman pahit itu, Zed mengimbau berada dalam tahanan lokap kerana direman selama lebih kurang tujuh jam bersama tiga lagi tertuduh dengan kesalahan serupa.

Kata Zed, dia bernasib baik kerana penjaminnya dapat menyelesaikan wang jaminan sebanyak RM5,000 dan dibebaskan selepas itu.

"Kalau tidak mungkin saya akan dibawa ke Sungai Buloh (penjara)," ujarnya.

Sementara itu, Zed turut menyifatkan insiden tersebut sebagai pengalaman baik buatnya namun itu bukan bermaksud dia serik untuk bersuara tentang sesuatu isu.

Sebaliknya kata Zed, pengalaman itu membuatkan dia menjadi seorang manusia lebih baik untuk terus berjuang untuk masyarakat.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain