PENERBIT Datuk A. Aida dan pelakon Idris Khan mencapai kata sepakat menyelesaikan kes melanggar perjanjian kontrak penggambaran sebuah drama berjudul, Sekali Lagi Cinta Kembali secara baik di luar mahkamah. A. Aida selaku plaintif menarik balik saman terhadap Idris sebagai defendan kedua tanpa kebebasan memfailkan semula kes tersebut. Keputusan menarik balik itu dibuat ketika perbicaraan hari pertama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa. Pada prosiding yang bermula kira-kira pukul 11.30 pagi, peguam mewakili Idris iaitu Jason Wee memohon supaya kes berkenaan diselesaikan secara baik di luar mahkamah. Idris dan A. Aida enggan memanjangkan kes. Permohonan berkenaan kemudian dipersetujui pihak A. Aida menerusi peguam, Ashmadi Othman. Sehubungan itu penyelesaian yang dibuat di hadapan hakim Zulqarnain Hassan turut mencapai kata sepakat bahawa tiada sebarang tanggungan pada kedua-dua belah pihak. ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] A. Aida anggap Idris Khan dulu berlakon 'kayu' dan Amelia Henderson tak kenang budi bakal terima habuan disaman ARTIKEL BERKAITAN: Idris Khan tak gentar, sedia jumpa A. Aida di mahkamah... Anggap dakwaan langgar kontrak satu fitnah Sementara itu, Idris diperintahkan untuk membuat pemulangan RM3,780 iaitu wang pendahuluan sebagai penyelesaian luar mahkamah kepada plaintif selain tidak boleh memfailkan saman malu terhadap A. Aida. Mahkamah memerintahkan defendan membayar ganti rugi tersebut sebelum penghujung November 2022. Sementara itu dalam perbicaraan sama, defendan pertama iaitu pelakon Amelia Henderson kekal dengan keputusan untuk meneruskan perbicaraan. Sebelum ini, A. Aida mengambil tindakan undang-undang terhadap Idris dan Amelia selepas didakwa menarik diri pada saat akhir daripada membintangi drama terbitan syarikatnya, A. Aida Production berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali. Penerbit itu menjelaskan tindakan itu diambil kerana kecewa dengan sikap tidak profesional kedua-dua pelakon itu sehingga menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian besar. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI