suria

Bekas suami Amelina dipenjara 3 bulan, denda RM2,000 pukul dan tendang isteri

Reduan ketika tiba di Mahkamah Majistret Kajang.

AHLI perniagaan yang juga bekas suami penyanyi dangdut Amelina dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan serta denda sebanyak RM2,000 selepas mengaku bersalah memukul dan menendang isterinya.

Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz menjatuhkan hukuman itu ke atas Reduan Mahamood, 58, selepas dia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kajang pada Selasa.

Reduan diperintahkan menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 19 November lalu dan tambahan tempoh penjara selama sebulan jika gagal membayar denda.

"Kes ini bukan sahaja berkepentingan awam malah kepentingan kepada mangsa dan anak yang turut terlibat...saya harap hukuman ini dapat memberi pengajaran kepada kamu. Seorang isteri adalah pendamping bukannya punching bag,” katanya.

Bekas suami penyanyi dangdut Amelina dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan serta denda sebanyak RM2,000.

Terdahulu Reduan didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya di rumah mereka di Batu 9, Cheras di sini, pada 5.13 petang 14 November lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Semua kisah lama saya dah buang” - Amelina enggan nama dikaitkan dengan lelaki seret isteri

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tak cukup seret, dipijak pula! Lelaki zalim dera isteri separuh mati... Saksi dakwa pelaku bekas suami penyanyi dangdut

Peguam Mohd Shafiq Ahmed Bazari yang mewakili Reduan memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya yang mempunyai dua anak telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

“Tertuduh menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi yang memerlukannya membeli ubat serta perlu kerap pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan selain dia penanggung utama keluarga,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi selama seminit 11 saat memaparkan Reduan memukul isterinya dengan menyeret dan menendangnya sambil diperhatian oleh seorang kanak-kanak.

Malah nama penyanyi Amelina turut terpalit sama berhubung isu berkenaan apabila ada pihak mendakwa lelaki dalam video tersebut adalah bekas suaminya.

Bagaimanapun Amelina meminta orang ramai agar tidak mengaitkan namanya dengan video tersebut kerana ia menggamit memori pahit.

Untuk rekod, Amelina dan Reduan berkahwin pada 26 April 1999 sebelum bercerai selepas 17 tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan enam orang cahaya mata.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain