ISTERI kepada Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri mendakwa pelakon itu pernah melafazkan talak terhadapnya sebanyak dua kali dan kali pertamanya menerusi WhatsApp pada 22 Januari lalu. Perkara itu dimaklumkan Shuhada, 29, dalam penyata pembelaan yang difailkan pada Isnin iaitu sehari sebelum sebutan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Selasa. Prosiding itu sepatutnya mendengar pengesahan lafaz cerai dibuat Hafidz selaku defendan kes yang dibuat menerusi panggilan telefon di hadapan ahli keluarga kedua-dua belah pihak pada 22 Februari lalu. Susulan itu, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Hafidz memohon mahkamah satu tarikh lain bagi pihaknya menjawab tuntutan balas berhubung isu lafaz cerai tersebut. Hafidz hadir ke mahkamah ditemani ahli keluarga. "Kami baru terima semalam salinan pernyata pembelaan bersama tuntutan balas. Namun pihak kami terkejut apabila melihat kandungan tuntutan balas kononnya Hafidz ada melafazkan cerai lebih awal iaitu 22 Januari lalu. "Sedangkan dalam permohonan cerai hari ini, lafaz itu dibuat pada 22 Februari. Ini bermakna sebelum 22 Februari ada lagi talak dilafaz terhadap Shuhada. Oleh itu pihak kami mohon tarikh baharu untuk menjawab terhadap tuntuan balas itu," katanya. Sehubungan itu, Hakim Syarie iaitu Siti Rahman Hussin yang mendengar kes tersebut menangguhkan prosiding pada 9 Mei depan. Dalam pada itu, peguam syarie Nurfarhana Abd. Manaf yang mewakili Shuhada mengesahkan pihaknya telah memfailkan satu pembelaan dan tuntutan balas berhubung isu lafaz cerai itu. ARTIKEL BERKAITAN: [V] Mahkamah arahkan Hafidz Roshdi jalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia ARTIKEL BERKAITAN: [V] Hafidz Roshdi mengaku tak bersalah tumbuk isteri, muncul berpakaian jaket tarik perhatian "Lafaz cerai pertama pada 22 Januari secara WhatsApp. Kami tiada bantahan sekiranya mahkamah menetapkan tarikh lain bagi sebutan semula kes," katanya. Kes penceraian itu dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun. Pelakon Tundukan Playboy itu melafazkan cerai terhadap Shuhada melalui panggilan telefon di hadapan keluarga masing-masing pada 22 Februari lalu sebelum wanita itu memfailkan proses pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 28 Februari lalu. Hafidz dan Shuhada berkahwin pada 30 April 2016. Pada 13 Mac lalu, Hafidz didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas pertuduhan menumbuk pipi kiri Shuhada sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, Hulu Selangor. Hafidz membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim. Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali dan dibacan bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukan maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah 323. Bagaimanapun, mahkamah membenarkan Hafidz diikat jamin RM4,000 selain turut memerintahkan Hafidz dihantar ke Hospital Bahagia bagi mendapatkan rawatan psikiatri. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!