ISTERI kepada Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri tidak menyangkal dakwaan aktor itu mengatakan dirinya sudah beberapa kali meminta untuk berpisah sepanjang perkahwinan mereka. Shuhada, 29, berkata sekiranya rumah tangganya bersama Hafidz bahagia dia pasti tidak akan memohon penceraian berulang kali. "Kalau kita hidup bahagia, dibelai dan disayang suami kenapa nak minta cerai. Puncanya daripada mana? Shuhada mengaku pernah minta cerai berkali-kali. "Jadi punca itu sendiri daripada dia dan dia pun dah mengaku yang dia akan buat pendedahan hubungannya bersama Atirah. "Semua orang pun sudah tahu punca berlakunya penceraian saya dengan Hafidz. Dia yang memilih ke arah ini," katanya kepada pemberita. Shuhada berkongsi perkara itu ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor pada pagi Selasa bagi sebutan kes pengesahan lafaz cerai. ARTIKEL BERKAITAN: Hafidz Roshdi tak pernah tuduh isteri gugurkan kandungan, dedah Shuhada banyak kali minta cerai ARTIKEL BERKAITAN: Muncul sedondon di mahkamah, Hafidz Roshdi dan isteri diusik netizen - “Berjanji pakai baju sama ke?” Dalam pada itu, Shuhada turut meluahkan rasa syukur apabila proses sebutan pengesahan lafaz cerai berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan. Dia bagaimanapun menyerahkan segala keputusan kepada kepada pihak mahkamah tentang lafaz cerai kali pertama dan kedua yang pernah dilafazkan Hafidz sebelum ini. "Hari ini, kedua-dua belah pihak sudah memberikan keterangan kepada mahkamah. Jadi, saya serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan kerana ini adalah berkaitan hukum Allah. Saya serahkan kepada pihak mahkamah untuk memutuskan mengenai lafaz cerai kali pertama dan kedua. NURUL SHUHADA MAT SHUKRI ISTERI HAFIDZ ROSHDI "Saya serahkan kepada pihak mahkamah untuk memutuskan mengenai lafaz cerai kali pertama dan kedua. Jadi, kalau berlaku, kita nak tahu jatuhnya talak berapa. Sebabnya, saya takut akan pembalasan, kalau kita mainkan hukum Allah. "Alhamdulillah semuanya dipermudahkan, Allah lembutkan lidah dan lisan. Saya boleh menjawab soalan dengan baik. Saya tadi buat kenyataan secara lisan bukan macam Hafidz secara bertulis," katanya lagi. Kata Shuhada, dia berharap semuanya akan diselesaikan dengan segera dan secara baik memandangkan urusan persekolahan anak-anak tertunda disebabkan masalah mereka. Tambahnya, dia sudah bersedia menamatkan segala kemelut rumah tangganya namun reda apabila mahkamah menangguhkan kes pengesahan lafaz cerai Hafidz pada 27 Julai depan. Shuhada berharap kemelut rumah tangga berakhir dengan baik. "Saya harapkan masalah ini dapat diselesaikan dengan segera kerana saya nak uruskan persekolahan anak-anak. Saya tak dapat buat pendaftaran anak-anak sekolah sebab ada perkara yang tidak lengkap. "Saya pun dah terima dengan hati yang terbuka dan berharap ia berakhir dengan baik tapi mungkin tidak boleh berkawan baik," jelasnya. Pada 21 Mac lalu, Shuhada mendakwa suaminya itu pernah melafazkan cerai sebanyak dua kali sebelum ini. Katanya, Hafidz pernah melafazkan talak menerusi pesanan Whatsapp selain melalui panggilan telefon masing-masing pada 22 Januari dan 22 Februari lalu. Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu selain Humairah ialah Umar yang kini berusia 2 tahun. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!