suria

[V] Bekas suami didakwa tak pulang 4 pita filem Sarimah Ahmad, ini jawab Suliza Salam... “Mereka rapat macam adik-beradik”

Suliza menjawab dakwaan melibatkan kemelut antara suaminya dan Sarimah.

SELEPAS nama bekas suaminya dikaitkan sebagai individu yang gagal memulangkan pita asal empat buah filem terbitan seniwati Datuk Sarimah Ahmad, penyanyi Suliza Salam tampil mengulas salah faham berhubung isu berkenaan.

Menjawab mengenai perkara itu, Suliza yang juga merupakan penyanyi era 1980-an berkata dia yakin bekas suaminya iaitu Datuk Zainal Nazeri Zainuddin bukanlah individu yang suka menganiaya orang lain.

Malah, Suliza memberitahu hubungan bekas suami dan Sarimah sangat akrab seperti satu keluarga.

Suliza percaya hanya terdapat salah faham yang berlaku.

Suliza percaya hanya terdapat salah faham yang berlaku.

"Sejujurnya saya tidak tahu tentang hal ini dan saya rasa bukan dia (bekas suami) orang yang dimaksudkan. Bekas suami saya bukan jenis suka menganiaya orang lain.

"Tak mungkinlah sebab dia dan Datuk Sarimah sangat rapat seperti abang dan adik. Mungkin sekadar terdapat salah faham dan saya pasti mereka akan selesaikan dengan cara baik," katanya kepada mStar.

Suliza berkongsi perkara itu ketika ditemui di acara Glam Lebaran Nona yang diadakan di Glam Hall Damansara, Selangor pada malam Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 36 tahun Sarimah Ahmad belum putus asa, rayu penerbit pulangkan 4 pita asal filem terbitannya

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen tanya Ismail Izzani dah kena 'rotan' ke belum, ibu tampil balas komen sarkastik di Instagram

Dalam pada itu, Suliza yakin pita asal filem yang dimaksudkan itu tidak berada bersama bekas suami dan enggan memberikan komen lanjut kerana tidak mengetahui cerita sebenar.

"Saya rasa pita filem itu tiada pada bekas suami saya. Ini semua salah faham kerana ia sudah berlaku berpuluh tahun dahulu.

"Jadi saya tidak boleh memberikan sebarang komen perkara itu berlaku sebelum saya hadir dalam hidup dia (bekas suami)," ujarnya.

Bekas suami saya bukan jenis suka menganiaya orang lain.

DATIN SULIZA SALAM

Sementara itu, ibu kepada penyanyi Ismail Izzani ini memberitahu dia dan keluarga enggan ambil pusing dengan kata-kata yang dilemparkan netizen berkenaan dengan kontroversi ini.

Malah, Suliza berkata sekiranya benar wujud salah faham, dia percaya kemelut ini dapat diselesaikan dengan baik melalui sistem undang-undang.

"Saya sedia maklum kalau orang (netizen) kaitkan nama bekas suami dalam hal ini. Selagi ia bukan satu dakwaan yang benar jadi saya rasa ia tidak mendatangkan masalah buat kami.

"Di Malaysia ini ada undang-undang, kalau benar seperti yang didakwa perkara ini boleh diselesaikan dengan cara baik," katanya.

Sarimah sebelum ini mendakwa seorang penerbit masih belum memulangkan semula pita asal filem terbitannya.

Sarimah sebelum ini mendakwa seorang penerbit masih belum memulangkan semula pita asal filem terbitannya.

Sebelum ini, ketika ditemu bual oleh mStar, Sarimah, 82, meluahkan rasa kecewa apabila seorang penerbit tidak menepati janji bagi memulangkan pita asal empat filem hasil terbitannya yang disimpan sejak 36 tahun lalu.

Dedah Sarimah, ketika itu dia terpaksa menyerahkan salinan asal pita berkenaan sebagai membayar hutang kepada penerbit yang enggan disebut namanya.

Empat tajuk pita filem dalam simpanan penerbit berkenaan termasuk Kabus Tengahari, Detik 12 Malam, Dia Ibuju dan Jejak Bertapak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain