PELAKON Linda Hashim tidak mengesahkan mahupun menafikan dakwaan dia nekad bercerai dengan suami iaitu Beego kerana sudah tidak tahan menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Linda atau Norhazlinda Hashim, 41, juga memilih mengunci mulut sama ada kehadiran orang ketiga turut menjadi punca keretakan rumah tangga mereka itu.
Sebaliknya Linda meminta soalan itu diajukan sendiri kepada Beego kerana dia enggan memanjangkan isu perkahwinannya.
"Berkenaan perkara itu (menjadi mangsa keganasan) boleh tanya Beego.
Linda nekad untuk memfailkan penceraian terhadap Beego.
"Saya tidak mahu komen lebih-lebih atau panjangkan cerita," katanya kepada mStar.
Linda mengulas perkara itu ketika ditemui selepas sebutan pertama kes cerai yang difailkan terhadap Beego di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada pagi Khamis.
Dalam pada itu, Linda nekad meneruskan penceraian kerana hatinya sudah kosong terhadap Beego.
Malah suaminya itu sudah mensia-siakan peluang diberikan sebelum ini dan tetap mengulangi kesilapan sama.
ARTIKEL BERKAITAN: Rumah tangga Beego berantakan lagi! Linda Hashim fail cerai lepas hampir 2 tahun rujuk
ARTIKEL BERKAITAN: Banyak bagi peluang pada suami... Rupanya dah 2 kali Linda, Beego cerai
"Banyak kali saya bagi peluang dengan memaafkan dan menerima segala kekurangan dan kelebihan dia," katanya.
Sementara itu, Beego, 45, tidak hadir pada sebutan pertama kes tersebut disebabkan saman yang dihantar kepada aktor berkenaan tidak sempurna.
Peguam mewakili Linda, Nurul Fadzilah Kamaluddin memberitahu pihaknya akan menguruskan sendiri penghantaran saman tersebut dan Beego selaku defendan wajib hadir pada tarikh berikutnya.
Saya tidak mahu komen lebih-lebih atau panjangkan cerita.
LINDA HASHIM
PELAKON
"Kita telah pun semak dengan mahkamah mengenai penyerahan saman. Ia sudah dibuat tapi tak sempurna.
"Memandangkan tidak berjaya, pihak mahkamah minta peguam untuk uruskan sendiri saman tersebut dan defendan wajib datang pada tarik seterusnya," ujarnya.
Mahkamah menetapkan 6 Mac depan bagi sebutan kedua kes tersebut.
Untuk rekod, Linda memfailkan cerai terhadap Beego pada 17 Januari lalu dengan alasan sudah tidak mempunyai persefahaman.
Linda dan Beego sebelum ini pernah bercerai pada Mac 2023 namun kembali rujuk.
Pada 27 Mac 2023, pasangan ini bercerai talak satu sebelum sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023.
Linda turut mendedahkan mereka kemudiannya bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk namun kembali bersama tidak lama selepas itu.
Mereka mendirikan rumah tangga pada Jun 2013.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia yang kini berusia enam tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube