Syamsul Yusof di majlis pratonton filem Evolusi KL Drift 2, baru-baru ini. - Foto oleh AZHAR MAHFOFFILEM terbaru pengarah Syamsul Yusof, Evolusi KL Drift 2 (EKLD2) tidak segah yang diharapkan. Namun, tidaklah sampai ke tahap yang memalukan. Mungkin sekadar biasa-biasa saja.Filem yang bertunjangkan kereta drift sebagai subjeknya ini masih tidak banyak berganjak daripada paradigma lazim Skop Production. Malah, ia boleh diibaratkan seperti deruman kereta baru yang menggunakan enjin lama. Bukan ia tidak berkualiti, jauh sekali untuk melabelnya sebagai filem bergred rendah. Cuma pendekatan Syamsul yang masih kuat melekat dengan acuan dan konsep yang tidak banyak berbeza daripada dua filem sebelum ini menjadikan EKLD2 agak sederhana.Jangkaan awal terhadap sekuel Evolusi KL Drift ini sememangnya besar. Apatah lagi pelbagai cerita mengenai insiden kemalangan di lokasi penggambaran dan kos pembikinan yang mendadak, sedikit sebanyak menyuntik keterujaan penonton untuk melihat sendiri kehebatan filem sekuel ini.Namun, setelah menonton EKLD2, tidak banyak yang boleh dibanggakan dengan 'air tangan' Syamsul kali ini. Plot filem ini biasa-biasa saja. Bahkan, dialog dan lakonan adalah aspek yang paling pincang.Skrip bersama, Syamsul dan sepupunya Rizal Ashraf tidak ubah seperti skrip-skrip filem Skop Production di era Datuk Yusof Haslam.Selayaknya Syamsul sebagai generasi baru membawa anjakan terhadap karyanya dan bukan terlalu mengikut acuan ayahnya. Kesannya, filem aksi dengan teknik sinematografi moden yang membanggakan dalam filem ini tercemar dek dialog dan skrip ala-ala filem 90-an.Mana tidaknya, setiap kali babak yang memaparkan Zack (lakonan Syamsul) dan rakan-rakannya berhimpun di bengkel atau di mana sahaja, pasti kita tidak dapat lari daripada lakonan dan lontaran dialog saling tidak tumpah seperti filem-filem Bayangan Maut (1990), Sembilu (1994) Maria Mariana (1996) dan segala macam judul terbitan Skop Production.Malah, ketika diajukan pertanyaan itu kepada pengarahnya, Syamsul mengakui dia tidak dapat lari sepenuhnya daripada acuan itu. Apa pun, kata Syamsul formula itu masih dianggap relevan dan berkesan hingga ke hari ini.Buktinya, lihat saja pelbagai judul drama bersiri mahupun filem terbitan Skop Production bermula dengan zaman Datuk Yusof sendiri dan Noor Kumalasari (Bayangan Maut), Awie dan Erra Fazira (Sembilu) hinggalah ke siri TV Si Capik, Skop masih mampu tersenyum bangga dengan sambutan penonton terhadap formula mereka.Jadi, apa halnya pula dengan pengkritik filem sekalian untuk sibuk-sibuk mempertikaikan itu dan ini tentang karya-karya mereka. Jika penonton di luar sana terbuka dan berbesar hati untuk 'menelannya', itu membuktikan aspek lakonan dan dialog ala-ala 90-an itu masih relevan.Menyentuh aspek lakonan, penampilan Syamsul sebagai Zack masih tidak banyak berubah. Cuma, lebih jujur dalam penghayatan wataknya berbanding lakonan cover macho dalam prekuel filem itu.Bagaimanapun lakonan Scha Al-Yahya (Aleeya), Hetty Sarlene (Vee) dan Rizal Ashraf (Muz) kurang berkesan, sekadar menghiasi skrin.Lebih mengecewakan, aktor berbakat seperti Farid Kamil (Sham), Aaron Aziz (Joe) dan Shaheizy Sam (Ery) juga kurang menyerlah walaupun mempunyai peran yang besar. Mungkin garapan dan lakon layar Syamsul masih lemah. Justeru, kemunculan bintang-bintang berbakat itu kurang menyengat.Paling menjelekkan adalah lakonan Remy Ishak (Inspektor Kamal) dan Zulkifli Ariffin (Inspektor Zam). Tiap kali kedua-dua inspektor polis ini muncul, pasti imbasan drama bersiri popular Gerak Khas terpacul serta-merta dalam minda. Masing-masing serba tidak kena dan kekok dengan gaya lakonan yang tidak menjadi.Satu lagi fakta 'perit' yang 'menyedihkan' adalah penampilan watak pak lawak dalam kalangan Zack dan kawan-kawannya. Dalam kes EKLD2, pak lawak yang menjadi taruhan untuk buat penonton gelak adalah Buzen Hashim.Kasihan juga bila memikirkan apa perlunya watak pak lawak sebegitu diwujudkan? Apakah jenaka dan gurauan yang ditampilkan itu benar-benar mampu untuk menggeletek hati atau hanya nampak seperti lawak bodoh yang klise?Mungkin klise adalah istilah lebih sesuai untuk menggambarkan pendekatan yang digunakan untuk ke sekian kalinya ini. Malah, lebih 'menyedihkan' virus pak lawak ini digunapakai dengan meluas dalam kebanyakan filem-filem kita.Apa pun, aspek sinematografi yang diterajui 'orang lama' Omar Ismail layak dipuji. Beberapa babak aksi dan cemas, terutamanya babak kejar-mengejar antara kumpulan penyangak, Joe dan Zack memang berkesan.Mungkin tidak setaraf Hollywood, namun penekanan sinematografi pada babak-babak penting itu dilihat membantu menaikkan mood ngeri, cemas dan debaran.Jika filem ringan dan seringkas Adnan Semp-it mampu kutip jutaan ringgit, takkan penonton kita tidak teruja untuk menyaksikan filem Syamsul yang dibikin dengan lebih cermat, teliti dan penuh aksi ini.